Kerusi Parlimen P.078 Cameron Highlands menyaksikan pertembungan lima penjuru apabila Ketua Pemuda MIC, Datuk C.Sivarraajh ditentang empat calon lawan.

Mereka ialah Wan Mahadir Wan Mahmud (Pas), M. Manogran (PKR) yang bertanding kali kedua bagi kerusi tersebut dan Mohd Tahir Kassim yang bertanding mewakili Berjasa.

Satu lagi calon adalah daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) iaitu B. Suresh Kumar.

Sivarraajh tiba di Pejabat Tanah dan Daerah Cameron Highlands bersama dua calon BN bagi DUN N.01 Tanah Rata, Leong Tak Man, dan DUN N.02 Jelai, Datuk Wan Modh Rosdy Wan Ismail.

Mereka hadir diiringi lebih 500 penyokong pada 8.50 pagi.

Senarai nama calon yang bertanding diumum Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Ishak Md Napis pada jam 12 tengah hari.

Bagi kerusi DUN Tanah Rata, ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Leong, Datuk S. Kumar (Pas) dan Chiong Yoke Kong (PKR).

DUN Jelai pula berhadapan pertandingan empat penjuru antara Wan Mohd Rosdy, Abdul Karim Nor (Pas), Dr Abdul Rasid Mohamed Ali (PKR) dan Mat Nor A/L Ayat (PSM).