Parlimen Teluk Intan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), PKR dan Pas.

Antara ketiga-tiga calon itu, dua merupakan calon berprofil tinggi iaitu Datuk Seri Mah Siew Keong yang merupakan Presiden Gerakan dan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming.

Calon ketiga adalah dari Pas iaitu Dr Ahmad Ramadzan Ahmad Daud.

Pencalonan bagi kerusi Parlimen Teluk Intan disahkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Teluk Intan, Azizan Muim pada 9 pagi di pusat penamaan calon di Dewan Bandaran Teluk Intan.

Azizan turut mengesahkan pencalonan bagi dua kerusi DUN iaitu DUN Changkat Jong dan Pasir Berdamar.

Kerusi Changkat Jong juga menyaksikan pertanding tiga penjuru antara BN, PKR dan Pas.

Datuk Mohd Adzhar Jamaluddin daripada BN akan mempertahankan kerusi manakala PKR diwakili Muhammad Faizal Mohamed Ismail (PPBM) dan Mohd Azhar Mohd Rafiei calon Pas.

Pertandingan tiga penjuru juga berlaku di DUN Pasir Berdamar antara penyandang Terence Naidu yang merupakan ahli DAP dengan Ong Su Chin dari BN dan S. Kumaresan yang merupakan calon Pas mewakili kelab bukan Islam parti itu.

Proses penamaan calon berjalan lancar tanpa sebarang kekecohan walaupun penyokong mewakili parti bertanding melaungkan slogan masing-masing dari Padang Speedy.

Laungan seperti "Hidup BN, hidup rakyat!" menjadi semangat utama buat penyokong BN yang tiba di Padang Speedy, dekat sini sekitar 9.35 pagi sambil membawa sepanduk dengan karikatur Mah Siew Keong serta ayat-ayat pemberi semangat kepada calon mereka.

Turut berkumandang adalah nyanyian istimewa "Hapus GST' oleh penyokong parti yang bertindak sebagai penyanyi bagi menyatakan sokongan calon mereka.

Kesemua jentera penyokong parti bertanding bersurai sekitar 11.30 pagi setelah pengumuman pengesahan pencalonan dibuat.

Senarai Penuh Pencalonan

Parlimen 076 Teluk Intan (TIGA PENJURU)

Datuk Seri Mah Siew Keong (BN)
Nga Kor Ming (DAP)
Dr Ahmad Ramadzan Ahmad Daud (PAS)

(PRU2013: DAP; Majoriti 7,313 undi
PRK 2013, BN: Majoriti 238 undi)

N55 Pasir Berdamar (TIGA PENJURU)
Ong Sun Chin (BN)
S Kumaresan (calon bukan Melayu (PAS)
Terence Naidu (DAP)

N 056 Changkat Jong (TIGA PENJURU)
Datuk Mohd Adzhar Jamaluddin (BN)
Muhammad Faizal Mohamed Ismail (PPBM)
Mohd Azhar Mohd Rafiei (PAS)