UMNO yang ingin kekal relevan di masa depan perlu mengalami perubahan drastik dari sudut pengurusan kewangan dan pentadbiran termasuk dijalankan seperti badan korporat.

Malah, perubahan pengurusan yang telus dan profesional akan membantu parti keramat Melayu itu menghapuskan fenomena politik wang.

Calon Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata jika beliau dipilih perwakilan sebagai pemimpin kedua tertinggi parti, beliau bersedia untuk menjalankan kerja-kerja pengurusan seperti mana kejayaannya menguruskan Negeri Sembilan sewaktu memegang jawatan Menteri Besar.

“Kita harus mempunyai ‘corporate governance’. Jika dahulu maklumat kewangan UMNO hanya diketahui Presiden, Timbalan Presiden, Bendahari, dan beberapa individu. Malah kewangan diuruskan dengan senyap-senyap.

“Transaksi juga tidak direkodkan atau tidak diketahui oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi dan sebagainya. Sepatutnya jika ada pentadbiran korporat, bendahari mempunyai tugas untuk membentangkan prestasi kewangan parti kepada pemimpin lain supaya kewangan parti boleh diuruskan dengan baik,” katanya.

Mohamad berkata pengurusan kewangan UMNO yang dahulu harus diubah dengan drastik. Begitu juga dengan pengurusan ahli-ahli.

“Saya berpendapat tidak perlu UMNO meneruskan ibu pejabat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kerana kosnya tinggi.

“Kita kalah pilihan raya, buatlah cara orang yang kalah. Kita harus lebih dekat dengan realiti. Kurangkan perbelanjaan tidak perlu, rendahkan diri dan fokus pada pengurusan parti,” katanya selepas merasmikan mesyuarat UMNO bahagian Rembau di Senawang, hari ini.

Mohamad yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO negeri berkata fokus pemulihan parti akan bermula apabila ahli-ahli akar umbi diperkasakan.

“Selama ini UMNO berfungsi sebagai organisasi ‘top-down’. Kita raikan pemimpin, mereka mendapat untung, sedangkan pemimpin akar umbi dan ahli-ahli terus bekerja kuat.

“Zaman itu sudah berubah. Seperti sebuah rumah traditional Melayu yang akan runtuh jika tiangnya rapuh, begitu juga UMNO.

“Penggal lalu kita terlalu yakin sehingga boleh memanggil pilihan raya walaupun terpaksa berdepan skandal yang amat besar. Sekarang kita menanggung kekalahan namun hikmahnya, kita boleh bermula baru.

“Inilah hikmah kita kalah. Jika tidak, UMNO tidak akan pernah berubah. UMNO di masa depan tidak boleh lagi mempunyai pemimpin dengan skandal. Jika tidak, kita akan terkubur,” katanya.

Pencalonan Mohamad, ADUN Rantau, sebagai Timbalan Presiden disaingi oleh Ketua Penerangan UMNO dan ahli parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Sementara itu calon Presiden UMNO Khairy Jamaluddin turut hadir di mesyuarat tersebut dan mengundi bersama perwakilan yang lain.