Pakatan Harapan Bachok pada Khamis membuat laporan polis terhadap pemilik sebuah blog yang mengaku hadir ketika Anggota Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz membuat pengakuan mengenai isu pemimpin Pas menerima dana daripada UMNO.

Pengerusi PH Bachok, Mohd Zulkifli Zakaria dalam laporannya memberitahu bahawa beliau pada 5 Februari lalu telah menerima satu mesej melalui Whatsapp mengenai artikel di sebuah laman blog www.milosuam.net milik "Abu Ulwan" yang bertajuk "Lagi Ahli Pas Tampil Jadi Saksi Dengar Nik Abduh Mengaku Terima Duit UMNO"

Katanya lagi siasatan juga perlu dilakukan ke atas Facebook "Abu Ulwan" kerana melalui akaun Facebooknya juga Abu Ulwan menegaskan bahawa dia sanggup bermubahalah (sumpah laknat) dengan Nik Abduh asalkan perkara itu dibawa ke muka pengadilan dan sanggup hilang keanggotaan Pas jika dirinya kalah.

"Abu Ulwan juga memuat naik ilustrasi lukisan kedudukannya dalam majlis yang dikatakan Nik Abduh mengaku pemimpin Pas mengambil duit UMNO," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok, di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Cabang PKR Bachok, Datuk Mohd Rowi Dollah serta anggota AMANAH dan PPBM Bachok.

Editor portal Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dalam artikelnya yang diterbitkan oleh portal Sarawak Report mendakwa pimpinan tertinggi Pas mungkin menerima RM90 juta daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mendorong Pas bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kemudiannya memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi di London pada 21 April 2017. Bagaimanapun, minggu lalu dilaporkan Anggota Parlimen Marang itu bersetuju memuktamadkan penyelesaian dengan Rewcastle-Brown.

Sementara itu di SHAH ALAM, Pertubuhan Pergerakan Malaysiaku Tanahairku menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan ke atas peguam dan aktivis hak asasi manusia Datuk Ambiga Sreenivasan, berhubung dakwaan RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pemimpin Pas.

Ketua pertubuhan itu, Raggie Jessy Rithaudeen berkata in susulan kenyataan yang terkandung di dalam 'Defence and Counterclaim Statement' yang difailkan oleh peguam Clare di Mahkamah Tinggi London pada 11 Oktober 2017 yang menyebut nama Ambiga sebagai individu yang bertanggungjawab memberi maklumat kepada pengendali blog Sarawak Report itu.

-- BERNAMA