Pakatan Harapan (PH) masih belum membuat sebarang keputusan berhubung isu dana politik dalam membantu pengurusan parti.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, paling jelas ia perlu memastikan tiada rasuah selain mengakui setiap parti perlu mempunyai jumlah kewangan yang sepatutnya.

Jelasnya, PH juga sedang mengkaji mekanisme terbaik berhubung pembiayaan parti-parti politik di negara ini bagi membolehkannya berfungsi tanpa bantuan mana-mana pihak.

Jadi mesyuarat hari ini tidak dapat memutuskan bagaimana parti politik akan dibiayai, kita tidak dapat putus (keputusan) pada hari ini dan kita akan kaji bagaimana parti politik boleh berfungsi tanpa dan dengan bantuan mana-mana pihak," katanya.


Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat PH di bangunan Albukhary di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo.

Dr Mahathir sebelum ini berkata, undang-undang dana politik berkaitan pembiayaan parti-parti di negara ini akan digubal sebagai usaha membanteras amalan rasuah.

Jelasnya, perkara itu bagi menghalang pemberian wang atau dana daripada ahli dan penyokong parti yang mengharapkan sesuatu sebagai balasan sekali gus menjurus kepada rasuah.

Dalam pada itu katanya, ada cadangan supaya kerajaan melihat amalan pemberian dana politik seperti yang diberi kerajaan di negara Jerman.