Pakatan Harapan (PH) Johor akan memohon satu Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Khas diadakan bagi membuktikan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Penyelaras PH Johor, Aminolhuda Hassan, berkata pihaknya akan menyerahkan surat permohonan berkenaan kepada Speaker DUN, Suhaizan Kaiat, pada Ahad ini.

“Ini adalah tanggungjawab Hasni bagi membuktikan dia mempunyai sokongan majoriti mudah daripada kalangan wakil rakyatnya.

“Kita boleh lihat (nanti)... kata orang kepercayaan wakil rakyat terhadap Menteri Besar ini (dapat dilihat) melalui Sidang DUN Khas itu yang kita harap dapat dilaksanakan" katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar di sini.

Aminolhuda (tiga dari kiri) pada sidang media di Pusat Khidmat ADUN Kota Iskandar hari ini. Gambar ASTRO Awani.

Beliau dalam pada itu berkata, PH tidak menentang keputusan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar melantik Hasni yang juga ADUN Benut sebagai Menteri Besar.

BACA: Hasni Mohammad angkat sumpah MB Johor


Sementara itu, Aminolhuda menegaskan, PH masih mendapat sokongan penuh daripada semua ADUN PH.

“Sebab itu kita nyatakan depan media bahawa kita dapat sokongan penuh daripada semua ADUN kita. Sekiranya tiada tekanan mana-mana pihak sebelah sana, insya-Allah ada yang bersama kita,”katanya.

BACA: PH Johor dakwa ada sokongan 28 ADUN