Konsep perpaduan ummah sudah lama diwujudkan dalam Pakatan Harapan (PH), sebelum parti gabungan yang terdiri daripada Bersatu, PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah), diberi mandat sebagai kerajaan yang mentadbir negara ketika ini.

Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata konsep itu tercetus sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) apabila parti pembangkang PAS mempunyai masalah dalaman, sehingga tertubuhnya Amanah dan kemudian Bersatu wujud, lalu terbentuk gabungan bersama PKR dan DAP menjadi PH.

"Kita tidak pernah terfikir perkara ini boleh berlaku... tiada siapa boleh merancangnya dan sehingga kini kita duduk semeja.

"Inilah yang disebutkan perpaduan ummah sebenar, perpaduan ummah kami sudah buat lama, mereka (parti pembangkang) baru hendak terfikir," katanya dalam ceramah kelompok PH di pusat daerah mengundi PH Lubuk Sawah, Pekan Nanas dekat sini malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Salahuddin Ayub, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan calon PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Karmaine Sardini.

Sementara itu, Salahuddin dalam ucapannya yakin Karmaine bakal mendapat undi daripada pejuang 'tulen' PAS dalam PRK itu.

Katanya hal ini kerana mereka adalah golongan yang rasional, menegakkan keadilan dan menolak pemerintahan kerajaan zalim.

Syed Saddiq pula menepis dakwaan pembangkang yang melabelkan pemimpin Melayu PH sebagai boneka DAP, dan menegaskan ia hujah bersifat perkauman.

Ahli Parlimen Muar itu turut menyifatkan pemimpin Melayu pembangkang sebagai hiprokit dan 'tersepit' dengan ideologi sendiri.

"Dulu mereka (pembangkang) hentam PH letak calon bukan Melayu ketika PRK Cameron Highlands, sekarang apa sudah jadi... mereka 'tersepit'," katanya.

Hari pengundian PRK Tanjung Piai ditetapkan 16 Nov ini. Ia merupakan pertandingan enam penjuru antara Karmaine dengan calon Barisan Nasional (BN), Gerakan, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan dua calon Bebas.

-- BERNAMA