Pakatan Harapan akan memperkenalkan calonnya bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, pada 14 Februari ini, iaitu dua hari sebelum hari penamaan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, beberapa individu berpotensi sudah diletakkan dalam senarai dan PH mempunyai keyakinan untuk mempertahankan kerusi itu, berdasarkan personaliti yang dimilik calon-calon terbabit.

Ditanya mengenai kriteria yang ditetapkan oleh PH dan Bersatu dalam memilih calon, Muhyiddin berkata, beliau mendapat maklum balas daripada pengundi setempat bahawa mereka mahukan anak tempatan, tetapi masih mempunyai kelayakan akademik yang bersesuaian, serta tahu bagaimana membawa isu-isu setempat ke peringkat DUN.

“Kita akan maklumkan siapa dia kelak, dan kita tetap mengambil kira kelayakan akademik dan lain-lain lagi yang dianggap sesuai untuk jadi wakil rakyat. Saya telah menghadiri pertemuan dengan orang tempatan, dan mereka nak orang tempatan, berkelayakan, mempunyai budi bahasa dan sebagainya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut diminta memberikan komen mengenai seorang pengundi berdaftar di Semenyih yang memfailkan saman terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memohon injuksi menghalang perjalanan PRK itu.

Mengulas mengenai hal itu, Muhyiddin berkata, itu sudah menjadi di luar bidang eksekutif, dan ia terpulang kepada mahkamah untuk memutuskan.

Media pada Sabtu melaporkan, peguam mewakili pengundi itu, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz sebagai berkata, permohonan injuksi itu akan difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin ini berdasarkan dakwaan SPR tidak wujud secara sah mengikut Perlembagaan Persekutuan kerana hanya dianggotai seorang pengerusi tanpa enam ahli.

Mengulas mengenai seorang lagi individu yang telah menyuarakan hasrat untuk bertanding di situ di bawah tiket Bebas, Muhyiddin berkata, biar siapa pun calon pihak lawan, PH dan Bersatu tidak akan mengambil jalan mudah, sebaliknya mereka akan terus memberikan fokus dalam usaha mempertahankan kerusi itu.

Sebelum ini, aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih mesra dengan gelaran 'Uncle Kentang' telah mengumumkan hasrat beliau untuk bertanding pada PRK itu.