Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Khamis menjawab kritikan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mampu menunaikan janji-janji dalam manifestonya.

Menurut Dr Mahathir, beberapa janji yang dibuat PH memerlukan majoriti dua pertiga di dalam Dewan Rakyat agar Perlembagaan Persekutuan boleh dipinda.

“Bila kita (PH) dapat cukup dua pertiga, kita akan pinda perlembagaan tetapi bukan untuk nak buang hak Raja, kerana itu kekal.

“Cuma kita nak pinda had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun kerana dengan ini lebih ramai rakyat boleh mengundi.

“Kita juga nak kurangkan kuasa perdana menteri dengan mengehadkan (pentadbirannya) kepada dua penggal sahaja,” katanya dalam ucapan di sini pada Khamis.

BACA: Manifesto PH mula ditunaikan secara berperingkat

Sementara itu, Dr Mahathir memberi bayangan bahawa lebih ramai Ahli Parlimen daripada UMNO akan lompat ke PH disebabkan UMNO kini sudah tiada hala tuju.

Jelasnya, disebabkan keperluan bagi PH mendapatkan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, kemasukan Ahli Parlimen daripada UMNO ke dalam PH diterima.

“Tetapi hanya ahli UMNO yang faham dengan perjuangan kita. Dengan ini kita dapat menambah jumlah dua pertiga di Dewan Rakyat.

“Hanya dengan itu kita dapat membuat pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut memberi gambaran bahawa akan terdapat tiga lagi Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan selepas Semenyih.

Katanya, ini adalah termasuk PRK Rantau yang dijangka akan diadakan pada April ini.

Namun Dr Mahathir tidak menyebut dua lagi kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri yang didakwanya akan berlaku PRK.

“Tak lama lagi kita dapat majoriti dua pertigalah sebab kita ada tiga lagi tempat nak PRK.

“Satu di Negeri Sembilan, Rantau. Jika di situ kita menang, makin dekatlah lagi (mendapat dua pertiga),” tambahnya lagi.