Seperti diramal, akhinya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak menyertai Pakatan Harapan Sarawak.

Maka lengkaplah PH Sarawak dengan empat parti gabungannya yang terdiri daripada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan kini Bersatu.

Perkara itu didedah Pengerusinya, Chong Chieng Jen selepas mempengerusikan mesyuarat PH Sarawak di Kuching pada Sabtu.

Chieng Jen ketika ditemui menyifatkan bahawa ia adalah satu kebetulan apabila PH Sarawak dibarisi empat parti komponen yang menyamai Gabungan Parti Sarawak (GPS).

"Secara kebetulan kita (PH Sarawak) ada empat parti sama dengan GPS, akan empat parti ini akan menentang GPS pada Pilihan Raya Negeri akan datang," katanya.

Dengan kemasukan Bersatu ke dalam PH Sarawak, Chieng Jen mengakui bahawa pembahagian kerusi bukan sesuatu yang mudah.

Ia akan mengambil kira semua aspek yang akan dibincangkan bersama anggota PH Sarawak pada mesyuarat depan.

Apa yang penting, katanya kerjasama antara semua parti amat diperlukan bagi memastikan kemenangan pada PRN kelak.

"Sekarang kita hanya membincangkan tentang perancangan masa depan dan strategi untuk menghadapi pilihan raya.

"Tentang pembahagian kerusi, ia akan dibincang kemudian dalam mesyuarat akan datang, buat masa ini yang penting ialah bekerjasama sebagai satu pasukan bermula dari sekarang," katanya.

Bersatu Sarawak telah dilancarkan di Sarawak pada 1 Disember lalu di Bintulu oleh Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.