Tutup

Piagam kerjasama Pas-UMNO bakal tercapai - Tuan Ibrahim

Piagam kerjasama Pas-UMNO bakal tercapai - Tuan Ibrahim
Jelas Tuan Ibrahim, kedua-dua parti melalui Jawatankuasa Induk berkenan akan melihat dan meneliti piagam berkenaan sebelum bersetuju serta menandatanganinya. - Gambar fail/BERNAMA
KOTA BHARU: Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Tertinggi Pas sudah mengadakan beberapa mesyuarat membincangkan mengenai piagam kerjasama dengan UMNO yang bakal menyaksikan satu perjanjian deklarasi antara dua parti itu ditandatangani selepas Aidilfitri nanti.

Menurut Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, kedua-dua jawatankuasa berkenaan sudah mengadakan mesyuarat dua hingga tiga kali bagi membincangkan serta merangka beberapa perkara dalam piagam bersama untuk dibawa ke Jawatankuasa Induk untuk dibahaskan sebelum dimuktamadkan.
“Kedua-dua jawatankuasa ini (Jawatankusa Piagam) akan membawa perkara ke Jawatankuasa Induk dan selepas Raya akan ada mesyuarat untuk tengok piagam ini dan buat satu deklarasi bersama,” katanya ketika ditemui selepas program di Madinah Ramadhan malam tadi.

Setiausaha Agong UMNO, Tan Sri Annuar Musa pada Khamis, memaklumkan kerjasama UMNO dan Pas bakal diperkukuhkan lagi dalam bentuk yang lebih rasmi selepas mementerai satu piagam kerjasama, tidak lama lagi.
BACA: UMNO-Pas bakal meterai piagam kerjasama - Annuar

Menurut beliau, pembentukan piagam tersebut kini dalam penelitian akhir jawatankuasa tertinggi kedua-dua parti.

Jelas Tuan Ibrahim, kedua-dua parti melalui Jawatankuasa Induk berkenan akan melihat dan meneliti piagam berkenaan sebelum bersetuju serta menandatanganinya.

Katanya, piagam tersebut merupakan suatu deklarasi untuk mengadakan Muafakat Perpaduan Ummah melibatkan tiga agenda utama; pertama, bersetuju untuk pertandinghan satu lawan satu di mana-mana pilihan raya kecil yang berlangsung; kedua, bermuafakat bersama mempertahankan mana-mana agenda yang melibatkan Islam dan umatnya; dan ketiga, menyusun tindakan bersama di peringkat Parlimen.

Tambahnya, piagam bersama UMNO untuk membentuk deklarasi bersama ini tidak memerlukan persetujuan Majlis Tertinggi Pas atau Majlis Syura Ulama kerana piagam kerjasama yang dibentuk ini tidak melibatkan kerjasama atau Tahaluf Siyasi dengan UMNO.

“Ini kerjasama biasa, kalau melibatkan Tahaluf kena melalui Majlis Syura kalau sekadar kerjasama biasa tidak dalam kerangka parti dalam kerangka dibenarkan parti tak perlu melalui Majlis Syura,” katanya.

Sebaliknya, sekiranya membentuk kerjasama serius atau melibatkan penggabungan ianya perlu dibawa ke Muktamar khas bagi mendapatkan sokongan ahli dan perwakilan.




Tag: Piagam Pas UMNO, Jawatankuasa Teknikal, Jawatankuasa Tertinggi Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, Annuar Musa, UMNO, Tahaluf Siyasi, piagam kerjasama, kerjasama UMNO Pas, Majlis Syura, Muktamar Pas



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.