Pilihan Raya Sarawak: 'Ini bukan permainan di Batu Kitang' - Abdul Aziz

Pilihan Raya Sarawak: 'Ini bukan permainan di Batu Kitang' - Abdul Aziz
ABDUL AZIZ: 'Saya sudah lama bergerak di kawasan Batu Kitang' - Foto Astro AWANI
KUCHING: Calon DAP di N13 Batu Kitang untuk Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN) ke-11, Abdul Aziz Isa menafikan beliau tidak serius dalam tindakannya bertanding di kerusi baru tersebut.

"Ini bukan permainan. Saya sudah lama bergerak di kawasan ini.

"Memang betul, mula-mulanya saya dinamakan sebagai calon di Stakan. Namun, atas keputusan parti, saya kembali ke Batu Kitang," jelas Abdul Aziz dalam satu sidang media di Ibu Pejabat DAP Sarawak di sini hari ini.

Ditanya mengenai peluangnya untuk menang di kawasan tersebut yang turut ditandingi PKR, beliau berkata fokusnya kini terarah kepada berusaha keras untuk memastikan kemenangan buat DAP.
"Berdasarkan maklum balas, ianya agak positif.

"InsyaAllah, saya yakin dapat meraih undi yang mencukupi untuk menang di Batu Kitang," kata beliau yang merupakan pembantu khas kepada Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen.

Mengenai pemilihan beliau sebagai calon bukan Cina walaupun beliau bertanding di kerusi yang mempunyai ramai pengundi Cina, Abdul Aziz berkata sudah tiba masanya untuk lanskap politik berubah.

"Saya rasa tiada masalah untuk wakil Melayu jaga kaum Cina ataupun wakil Cina menjaga kaum Dayak atau wakil Dayak menjaga kaum Melayu.

"Semuanya adalah rakyat Sarawak yang mempunyai hak untuk dijaga," tambah beliau.

Abdul Aziz akan berdepan cabaran daripada empat calon lain di Batu Kitang.

Mereka adalah Voon Shiak Ni dari PKR, Lo Khere Chiang dari BN dan dua lagi calon bebas.

Proses pengundian bakal berlangsung 7 Mei ini.