Barisan Nasional (BN) berpeluang untuk menang di kerusi majoriti masyarakat Cina di Sibu sekiranya dapat menyelesaikan konflik antara parti komponennya, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan parti mesra BN, Parti Rakyat Bersatu (UPP).

Menurut Pengurus Penyelidikan Merdeka Center, Tan Seng Keat secara tradisinya, Sibu adalah kubu kuat BN di bawah pengaruh parti SUPP.

Namun akibat konflik dalaman yang berlarutan sehingga menyaksikan parti serpihan SUPP ditubuhkan iaitu UPP, ia telah memberi peluang kepada parti pembangkang, DAP untuk bertapak di Sibu.

Kini DAP memiliki tiga kerusi DUN di Sibu dengan kesemuanya adalah kerusi majoriti Cina iaitu Dudong, Bukit Assek dan Pelawan.

"Di kawasan majoriti pengundi Cina di Sibu kita melihat kekuatan DAP adalah disebabkan dari perpecahan dari parti komponen BN dan ini memberi peluang pembangkang menapak di sini dan berkembang.

"Isu utama untuk BN adalah untuk menyelesaikan isu perselisihan antara pemimpin kaum Cina dalam BN. Kalau ia dapat diselesaikan dan mungkin BN meletakkan calon-calon muda dan profesional pada masa depan mungkin BN ada peluang menang," katanya.

Selain itu, Tan melihat calon yang diletakkan bertanding khususnya daripada calon langsung BN turut memainkan peranan dalam menentukan kemenangan kali ini.

"Calon-calon BN ramai yang veteran. Ada yang merupakan menteri untuk beberapa penggal, ada isteri ahli keluarga bekas Yang Berhormat. Jadi ia tidak begitu menarik bagi pengundi kaum Cina di sini lebih-lebih lagi mereka melihat calon langsung BN ini datangnya dari keluarga yang kaya. Jadi mereka merasakan wujud jurang antara pemimpin dan rakyat biasa," katanya.

Bekas presiden UPP, Wong Soon Koh sebelum ini mendakwa SUPP cuba mensabotaj beliau dan dua lagi calon langsung BN dari UPP, iaitu Datuk Janet Lau and Datuk Tiong Thai King untuk menang di kerusi Bawang Assan, Pelawan dan Dudong masing-masing.

Walaupun secara tradisi rata-rata kerusi di Sibu adalah kerusi milik SUPP, namun kerusi seperti Bawang Assan dan Dudong dilihat bakal diberikan kepada calon langsung BN dari UPP.

Hanya satu kerusi yang menyaksikan calon SUPP bertanding iaitu di Bukit Assek.

Proses pengundian Pilihan Raya Negeri Sarawak bagi menentukan 80 lagi wakil rakyat di negeri itu akan berlangsung 7 Mei ini.