Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem mengakui dapat tidur lena selepas menyelesaikan isu calon di 82 kerusi negeri itu sebelum hari penamaan calon.

Jelasnya, barisan calon itu sekali gus harapan untuk diberi kepercayaan mentadbir negeri dalam tempoh lima tahun lagi.

"Dua tahun mentadbir Sarawak dirasakan terlalu singkat kerana tidak dapat menyelesaikan pelbagai projek yang dirancang.

"Ya, saya mengakui sekarang tidur lebih lena, seperti bayi. Terutamanya selepas menyelesaikan isu kerusi untuk calon-calon. Sebelum diselesaikan dahulu, saya terlalu risau, kini saya dapat tidur lena," katanya semasa sidang media semasa perjumpaan mesra bersama media yang membuat laporan sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak di sini hari ini.

BACA: Lapor Langsung Hari Penamaan Calon

Sebelum ini, dapatan terbaru Merdeka Center yang berdasarkan kajian yang dibuat di kalangan pelbagai kategori pengundi mengikut kaum di Sarawak menunjukkan 81 peratus daripada 815 responden berpuas hati dengan prestasi Adenan.

Kajian yang dibuat Januari lalu itu menunjukkan peratusan itu telah meningkat berbanding 74 peratus dicatatkan pada April 2015.

Prestasi baik Adenan ini merupakan cabaran kepada pembangkang, khususnya Pakatan Harapan yang cuba untuk mengukuhkan kedudukan di Sarawak.

Dalam pada itu kata Adenan, perbalahan di antara DAP dan PKR dalam perebutan kerusi membuktikan kedua parti itu tidak sefahaman dalam apa juga tindakan mereka.

Adenan turut memberitahu, Barisan Nasional (BN) tidak akan mengambil mana-mana calon bebas yang mungkin menang untuk bekerjasama di bawah satu persefahaman.

"Ada beberapa jenis calon bebas yang mempunyai misi masing-masing apabila bertanding.

"Ada yang ditaja, ada yang mahu mengaut keuntungan atas angin, ada calon merajuk kerana tidak dipilih dalam parti dan ada juga yang sengaja menjadi bebas dengan harapan diambil BN jika menang kelak," jelasnya.

Katanya lagi, rakyat akan diberi pilihan sama ada mahukannya meneruskan kepimpinan untuk lima tahun akan datang atau sebaliknya dengan memilih barisan calon dari pasukannya.

"Jika mahu saya terus menjadi Ketua Menteri Sarawak, undilah pasukan saya.

"Saya tahu mungkin ada pengundi yang tidak senang dengan calon yang dipilih namun saya bukan malaikat. Mereka harus menerima kelebihan atau kekurangan yang ada dari beberapa aspek," jelasnya.

Ketika ditanya tentang laporan sebuah portal yang mengatakan tahap kesihatannya yang terganggu akhir-akhir ini, Adenan menjelaskan, ia satu keajaiban.

"Saya sakit tiga tahun dahulu dan menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) serta hospital di sini. Saya ingat saya sudah mati apabila berusia 70 tahun.

"Namun tuhan itu maha berkuasa, mungkin kerana doa rakyat dan kini saya akan berbakti kepada rakyat negeri ini," ujarnya.

Proses pengundian bakal berlangsung pada 7 Mei ini dengan 80 kerusi Dun Sarawak menjadi rebutan selepas BN menang dua kerusi tanpa bertanding pada hari penamaan calon semalam.