Kerajaan negeri Sarawak mengumumkan kadar potongan cukai taksiran bagi kediaman di negeri itu dari 10 peratus sehingga sepenuhnya berkuat kuasa tahun ini.

Antaranya, kadar taksiran cukai kediaman bagi mereka yang membayar cukai sebanyak RM50 ke bawah yang kini dihapuskan.

Satu surat pekeliling daripada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Sarawak baru-baru ini turut memperincikan sembilan lagi kategori kadar cukai taksiran yang mendapat potongan.

Menterinya Datuk Seri Wong Soon Koh mengesahkan perkara itu, menurut laporan Borneo Post pada Khamis.


Selain penghapusan cukai bagi kategori pembayar cukai taksiran RM50 ke bawah, sembilan lagi kategori kadar penilaian kediaman menerima potongan dari 10 hingga 90 peratus.

Sebagai contoh, bagi mereka yang membayar cukai taksiran RM50.01 setahun, kini hanya perlu membayar amaun sebanyak RM5.

Manakala bagi yang dikenakan cukai taksiran RM100, kini hanya perlu membayar RM10 setahun.

 Kementerian Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Sarawak baru-baru ini turut memperincikan sembilan lagi kategori kadar cukai taksiran yang mengalami pemotongan.
Bagi pembayar cukai yang telah menjelaskan cukai taksiran bagi tahun semasa, ia akan dikembalikan kepada mereka sebelum hujung Jun 2016.

Bagaimanapun, ia tidak termasuk mereka yang sudah membuat pembayaran sebelum 2016.

Selain itu, majlis mesyuarat kerajaan negeri juga telah memutuskan supaya segala tunggakan cukai taksiran bagi pegangan yang telah dikenakan cukai taksiran RM50 setahun dan ke bawah dihapus kira berkuatkuasa 1 Januari 2016.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem pada 15 Mac lalu mengumumkan pemansuhan cukai tanah untuk tanah pertanian dan tanah kediaman di Sarawak berkuatkuasa serta merta.

Langkah penurunan kadar penilaian kediaman itu merupakan antara 50 inisiatif pentadbiran Adenan bagi meringankan beban rakyat negeri itu termasuk menghapuskan tol dan mengurangkan tarif elektrik.