Kemelut dalaman di antara PKR dan DAP berhubung pertindihan kerusi sama yang ditandingi pada Pilihanraya Negeri (PRN) ke-11 Sarawak dijangka selesai dalam masa terdekat.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kedua-dua presiden parti terbabit sudah mengadakan perbincangan terakhir berhubung kemelut itu.

"Kita berharap perkara ini dapat diselesaikan kerana presiden PKR telah berjumpa dengan Ketua Menteri dua hari yang lalu.


"Saya rasa kita cuba lakukan usaha terakhir untuk menyelesaikan pertindihan kerusi ini dalam masa terdekat," katanya selepas majlis perasmian Persimpangan Bertingkat Seksyen 7, di sini, hari ini.

Jelasnya, apa yang penting ketika ini adalah untuk Pakatan Harapan memberi fokus terhadap kempen di Sarawak.

"Fokus kita sekarang adalah turun padang untuk memastikan jentera Pakatan Harapan dapat mendekati pengundi sebanyak mungkin untuk menjelaskan dasar parti. Itu adalah tumpuan utama bagi semua pihak dalam Pakatan Harapan," katanya di sini.

Kemelut bermula apabila berlaku pertindihan kerusi di antara PKR dan DAP di enam kawasan pertandingan pada PRN Sarawak.

DAP kemudiannya bersedia menarik diri daripada bertanding di kerusi Batu Kitang dan sebagai pertukaran, PKR perlu berundur daripada lima kerusi lain yang turut ditandingi DAP.

Bagaimanapun, PKR bertegas tidak akan menarik diri daripada enam kerusi terbabit iaitu Batu Kitang, Mulu, Murum, Simanggang, Ngemah dan Mambong.