Bekas presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak hari ini menyeru ahli parti supaya memilih pemimpin yang terbaik, memperbetulkan keadaan parti dan menghindari politik wang.

Beliau turut berkata, pemimpin lain tidak perlu meletak jawatan susulan kekalahan parti dalam pilihan raya umum (PRU) yang lalu, sebaliknya ia akan ditanggung beliau sendirian.

"Mereka tak perlu letak jawatan. Kalau semua letak jawatan, lumpuh parti kita. Biar saya letak jawatan. Yang lain tolong betulkan keadaan.

"Tolong betulkan keadaan. Jangan lagi ada budaya politik wang sesama kita. Ini pemilihan kita dalam parti. Pilihlah pemimpin yang terbaik di kalangan kita," katanya.

Najib yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Pekan dan Ahli Parlimen kawasan itu berkata demikian dalam ucapannya semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian tersebut, di sini, hari ini.

Beliau turut mengakui banyak kelemahan dan kepincangan berlaku di semua peringkat dalam parti yang juga menyumbang kepada kekalahan UMNO pada PRU ke-14 lalu.

Salah satu daripadanya, katanya, adalah amalan politik wang.

Pada pemilihan kali ini, Najib mengekalkan jawatannya sebagai Ketua UMNO Bahagian tanpa pencabar.

Turut menang tanpa bertanding ialah anaknya Datuk Mohd Nizar yang dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan yang baharu pada Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian tersebut.