Pihak berkuasa Indonesia mengambil perhatian yang serius berhubung penemuan kertas undi Pemilihan Umum Presiden 2019 (Pilpres 2019) yang didakwa sudah ditebuk.

Menurut anggota Komisi Pemilihan Umum (KPU) Indonesia, Viryan Aziz, pihaknya tidak akan bertoleransi terhadap apa sahaja bentuk penipuan sekiranya berlaku dalam proses demokrasi negara itu.

Sehubungan itu, beliau berkata, pegawai tertinggi KPU dan Badan Pengawasan Pemilihan Umum (Bawaslu) sudah berlepas ke Kuala Lumpur untuk menyiasat perkara itu.

“Secara prinsipnya, KPU tidak pernah bertoleransi terhadap apa sahaja bentuk kecurangan (penipuan).

“Bagaimanapun, perlu ada kepastian apakah benda perkara itu (kertas undian benar-benar ditebuk),” kata Viryan dalam sidang media di ibu pejabat KPU di sini pada Jumaat.

Isu kertas undi Pemilu 2019 ditebuk mencetuskan kekecohan apabila anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerbu sebuah lot kedai pada Khamis.

Kertas undi berkenaan dilaporkan ditemui di Taman Universiti, Sungai Tangkas, Bangi.

BACA: Kertas undi Pilpres 2019 ditemui di Kajang: Tunggu kenyataan KPN - Sumber

Laporan media Indonesia menyebut kertas undi berkenaan dimuatkan dalam 20 beg diplomatik, 10 beg plastik hitam dan lima karung guni berwarna putih dengan tulisan Pos Malaysia.

BACA: Pilpres dan Pilleg: Apa yang perlu diketahui untuk 14 dan 17 April ini?

Serentak itu, calon Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) meminta Bawaslu supaya segera mengambil tindakan untuk mengatasi masalah berkenaan.

Pilpres yang diadakan serentak dengan Pemilihan Legaslatif (Pileg) akan berlangsung pada 17 April ini.
Bagaaimanapun, bagi warganegara Indonesia di Malaysia yang dianggarkan seramai 1.5 juta orang akan mengundi calon pilihan mereka pada 14 April ini.

Pilpres 2019 akan menyaksikan pertembungan antara pasangan Nombor Satu, calon Presiden, Jokowi dan calon Naib Presiden, Ma’ruf Amin dengan pasangan Nombor Dua iaitu Prabowo Subianto dan Sandiaga Uno.

Proses demokrasi di Indonesia merupakan antara yang terbesar di dunia selepas India dan Amerika Syarikat.

Seramai hampir 200 juta pengundi berdaftar Indonesia akan keluar mengundi memilih calon mereka pada 17 April ini.

Jumlah populasi ndonesia ialah sebanyak 260 juta sekali yang merangkumi penduduk Islam paling ramai di dunia.