Agenda pembaharuan Parlimen atau Parliamentary Reform yang diusul oleh Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia perlu dilaksanakan pada sidang parlimen yang akan datang pada 19 Oktober 2015.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menyatakan sokongan penuh ke atas usaha Pandikar untuk melakukan pembaharuan Parlimen itu, menggesa kerajaan agar memberi fokus kepada agenda pembaharuan ini.

Pengarah Strategi PKR Sim Tze Tzin dalam satu kenyataan media berkata, sudah tiba masanya kerajaan melaksanakan janji-janji perubahan dalam mengangkat kewibawaan Parlimen.

"Keadaan politik telah berubah, memandangkan bahawa sekarang Speaker, Perdana Menteri, Menteri dan juga ahli-ahli parlimen pembangkang semuanya menyokong penuh agenda pembaharuan parlimen, maka tibalah masanya kerajaan melaksanakan janji-janji perubahan yang dijanjikan kepada Speaker Parlimen bahawa kerajaan akan mengangkat kewibawaan dan kebebasan institusi Parlimen," katanya.

Menurut Sim, Pandikar dilaporkan pernah berhasrat untuk meletak jawatan disebabkan oleh pengurusan dan kewibawaan Parlimen yang dikatakan 'mengecewakan', selain peranan Parlimen dianggap seolah-olah 'Rubber Stamp'.

Bagaimanapun, Pandikar berubah fikiran setelah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji akan melaksanakan parliament reform atau pembaharuan Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said juga berkata kerajaan komited kepada agenda pembaharuan parlimen dan beliau akan membawa isu itu ke kabinet.

Satu Jawatankuasa Pembaharuan Undang-Undang Parlimen telah ditubuhkan bagi mengkaji penggubalan semula Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen, Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 [Akta 237] dan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Semakan 1988) [Akta 347] sejak 2011 dan isu pembaharuan parlimen bukan perkara yang baru, kata Sim.

Namun, laporan dan cadangan jawatankuasa yang telah bersidang sebanyak lima kali itu, yang diserah kepada kerajaan pada tahun 2012 tidak mendapat sebarang maklumbalas.

Berikut merupakan antara cadangan pembaharuan Parlimen yang diusulkan Speaker kepada kerajaan:

1. Memansuhkan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan hal ehwal Parlimen

2. Mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 [Akta 394] (Parliament Service Act) dan menggubal Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa).

3. Menubuhkan Jawatankuasa tetap Parlimen atau parliamentary select committee.

4. Meningkatkan infrastruktur Parlimen ke tahap seperti bangunan di Putrajaya atau Palace of Justice.

5. Mengadakan Sesi Soal Jawab Perdana Menteri atau Prime Minister question time.