Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyambut baik pembentukan kerjasama, persefahaman dan muafakat politik antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Pas.

Katanya, pertemuan Jawatankuasa Induk Bersama kedua-dua parti itu telah menghasilkan beberapa resolusi positif dalam usaha memeterai muafakat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

"Perkembangan terbaru ini mempamerkan ciri kematangan dan kepimpinan PPBM dan Pas dalam kegigihan untuk mencari jalan persamaan demi masalah rakyat. PKR akan meneruskan kerjasama dengan Pas dan PPBM untuk memperkukuhkan muafakat dan memperkasa gabungan parti politik progresif serta menggerakkan rakyat demi kemenangan PRU ke-14.

“Adalah menjadi tuntutan untuk kita dipimpin dengan kebijaksanaan dan pendekatan inklusif, mengenepikan sikap partisan dan perbezaan ideologi. Ini akan dapat membentuk gabungan pembangkang yang utuh dan jitu untuk mengembalikan maruah rakyat serta menyelamatkan Malaysia”, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada Rabu, Pas dan PPBM mengadakan mesyuarat tertutup tanpa kehadiran presiden masing-masing.

PPBM diwakili oleh Timbalan Presidennya Datuk Seri Mukhriz Mahathir manakala PAS diwakili oleh Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden Idris Ahmad.

Kedua-dua parti kemudiannya mengeluarkan kenyataan bersama yang mengumumkan parti itu bersetuju untuk membentuk sebuah jawatankuasa induk.