Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) menolak cadangan mencalonkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Sebaliknya, PKR membuat keputusan untuk kekal dengan konsensus Pakatan Harapan (PH) mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

MPP PKR mengadakan mesyuarat khas pada Jumaat bersama ahli-ahli Parlimen parti itu bagi membincangkan kemelut memilih calon perdana menteri sekiranya PH kembali mentadbir negara.

"PKR tetap terbuka untuk berbincang dengan semua pihak termasuk Tun Dr Mahathir demi usaha menyelamatkan Malaysia dan mengembalikan mandat rakyat ke tempatnya.

"Walau bagaimanapun, parti memutuskan untuk tidak menyokong cadangan mencalonkan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, dan kekal dengan konsensus Pakatan Harapan mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri," kata MPP PKR menerusi satu kenyataan.

PKR juga menegaskan pihaknya komited untuk mengukuhkan Pakatan Harapan dan meneruskan usaha menggembleng tenaga dari semua pihak yang sefahaman untuk mengembalikan mandat rakyat ke tempatnya dalam masa terdekat.

Pada masa yang sama PKR menjelaskan bersiap siaga menghadapi Pilihan Raya Umum mengejut yang mungkin dipanggil pada bila-bila masa.

Sebelum ini, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke dilaporkan sebagai berkata, PH dan sekutunya telah meneroka dua kombinasi pilihan bagi jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Kombinasi pertama melibatkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai timbalannya.

Bagaimanapun, perkara itu tidak menerima sokongan daripada sekutu PH, justeru cadangan baharu dibangkitkan iaitu menggandingkan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri dengan Anwar sebagai timbalannya.