Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin pembangkang bakal sepakat ke arah pertandingan satu lawan satu dengan Barisan Nasional pada PRU-14.

Tegasnya, ia boleh dicapai walaupun pilihan raya diawalkan.

Jelasnya, perbincangan awal mengenai pembahagian kerusi telah diadakan, dan jentera PKR bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Kesepakatan itu mampu dicapai walaupun dengan kehadiran parti baharu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

"Kami sudah mulakan perbincangan awal, dan ini proses yang kami perlu lalui.

"Ini adalah parti baharu, dan kami perlu mempertimbangkan semua rakan-rakan kami dalam Pakatan Harapan dan juga perhubungan kami dengan PAS.

"Kini dengan parti baharu, kami perlu melihat semua keputusan bagi memastikan ia akan menjadi perlawanan satu lawan satu pada PRU-14," kata Mohamed Azmin ketika ditemui selepas satu sidang media acara World #QuranHour di Gombak, pada Ahad.

Ketika ditanya sama ada parti bersatu akan menyertai gabungan Pakatan Harapan, katanya perkata itu perlu dibincang dengan lebih lanjut.

Namun, beliau mengakui parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu akan berperanan penting dalam PRU akan datang.

"Ini melibatkan strategi yang perlu dibincangkan, setakat ini tiada sebarang persetujuan mengenai hal itu.

"Proses itu perlu diteruskan, tapi tentunya, Bersatu memainkan peranan penting pada pilihan raya akan datang.

"Saya yakin dengan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan kemampuan dan pengalamannya. Beliau ada pengaruh besar di kalangan pengundi melayu, terutamanya ahli UMNO," kata Mohamed Azmin.

Beliau berharap kekuatan PPBM akan memperkukuhkan gabungan Pakatan Harapan dan PAS.