Pihak polis diminta bertindak profesional dan tidak memihak di dalam mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan kerosakan atau mensabotaj parti lawan semasa kempen pilihan raya yang sedang berlangsung.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau menerima laporan daripada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mengenai dua kes yang berlaku sejak hari penamaan calon bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) Sabtu lalu.

Menurut beliau, dua kes itu ialah memecahkan van calon di Kucing, Sarawak dan merosakkan poster serta kain rentang calon di Muar, Johor.

Katanya, perbuatan itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia langsung tidak menggambarkan politik matang, sebaliknya itu adalah politik gangster.

"Mana-mana pihak yang bertanggungjawab harus terikat kepada Akta Polis dan juga Akta Pilihanraya dan tentunya tindakan akan dilakukan segera oleh pihak polis untuk melakukan siasatan dan (seterusnya) melakukan pendakwaan.

"Sebagai negara yang memulakan suatu usaha untuk menunjukkan politik matang, tidak seharusnya peristiwa seperti ini berlaku.

"Kita boleh berbeza pendapat tetapi kita tidak boleh menggunakan kekerasan dan mengambil undang-undang di tangan sendiri," katanya kepada pemberita selepas program kempen di sini, malam tadi.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pihak polis akan terus memantau perbuatan seumpama itu.

Dalam masa sama, beliau meminta kerjasama semua pemimpin politik agar memastikan penyokong mereka tidak melakukan tindakan-tindakan yang melampau dan menyalahi undang-undang.

Beliau turut mengarahkan Briged Gempur Barisan Nasional di seluruh negara agar menjaga disiplin dan ketertiban serta tidak melakukan tindakan-tindakan yang di luar batas perundangan.

"Kita harus menterjemahkan demokrasi dengan makna yang sebenar dan kematangan politik amat diperlukan untuk menjaga imej negara kita," tambah Ahmad Zahid.