Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman menegaskan politik negeri itu tidak mengalami sebarang masalah.

Menurut Ahmad Razif, beliau akan tetap dengan pendiriannya sebagai Menteri Besar dan fokus terhadap tugas membawa transformasi kepada negeri itu.

"Saya rasa tidak ada masalah apa-apa dan saya harap media tidak perlu panjangkan cerita ini.

"Ini kerana, Terengganu hari ini politiknya amat stabil dan saya rasa tidak ada apa-apa masalah," katanya selepas ditemui selepas Majlis Jalinan Mesra Aidilfitri Serikandi di sini, hari ini.


Beliau mengulas kenyataan ADUN Ajil, Ghazali Taib yang menyifatkan majoriti wakil rakyat di Terengganu tidak gembira dan bimbang dengan keresahan politik yang dialami ketika ini.

Tambah Ahmad Razif, kenyataan Ghazali merupakan pandangan peribadi dan beliau menghormati pandangan berkenaan.

Pada masa yang sama, beliau berpendapat kenyataan tersebut tidak wajar dimanipulasi oleh mana-mana pihak.