PPBM Terengganu umum senarai calon

PPBM Terengganu umum senarai calon
Pengerusi PPBM Terengganu Datuk Razali Idris bersama calon-calon PPBM yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). - Foto BERNAMA
HULU TERENGGANU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Terengganu mempertaruhkan tiga calon di kawasan Parlimen dan 10 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Pengerusinya, Datuk Razali Idris berkata PPBM turut menampilkan seorang calon muda yang berusia 36 tahun di DUN Tepuh.

Menurut Razali calon yang dibariskan ini merupakan muka baharu yang terdiri dari kalangan profesional termasuk jurutera, doktor dan ahli perniagaan.

“Pemilihan ini bukan dibuat dalam masa satu atau dua hari tetapi memakan masa berbulan-bulan. Kami juga minta cadangan daripada bahagian.
“Saya begitu yakin dengan pemilihan tersebut kerana mereka bukan hanya terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Bahagian Tertinggi, tetapi juga dikalangan ahli biasa.

“Ini kerana kami memerlukan calon yang boleh menang, tidak kira latar belakang, yang penting rakyat mahukan mereka.

“Selain itu calon-calon ini mempunyai kekuatan yang kental untuk berlawan dengan Barisan Nasional dan juga Pas,” katanya selepas pengumumkan calon PPBM Terengganu di Hulu Terengganu pada Ahad.

Razali berkata bagi calon DUN  Batu Rakit dan Langkap akan di umumkan dalam masa terdekat.

Sementara itu Razali bakal bertanding di kerusi Parlimen Hulu Terengganu manakala Datuk Ir Wan Nazari Wan Jusoh di Parlimen Besut diikuti Datuk Dr Mohd Faudzi Musa di Parlimen Setiu.

Bagi kawasan DUN, Che Ku Hashim Che Ku Mat (Kuala Besut), Ismail Abdul Kadir (Hulu Besut), Wan Hafizie Suzlie Wan Hassan (Tepuh), dan Datuk Zulkifli Mohamad (Ladang).

Manakala Aidi Ahmad (Pengkalan Berangan), Zamani Mamat (Ajil), Mohamad Arif Arifin (Bukit Besi) dan Datuk Seri Wan Marzuki Wan Sembok (Kijal).