Umum mengetahui bahawa tarikh dua Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar jatuh di dalam bulan Ramadan, maksudnya hari kempen sehingga sampai hari pengundiannya jatuh pada hari berpuasa.

Dalam minggu pertama kempen dan berpuasa ini, jelas adab berkempen perlu selari dengan adab puasa yang membawa maksud beberapa perkara yang patut diipatuhi demi menghormati bulan Ramadan itu sendiri.

Pastinya rentetan ibadah berpuasa, berbuka dan kemudian solat Tarawih merupakan antara perkara yang perlu dilalui umat Islam sepanjang bulan yang mulia ini demi mengejar ganjaran pahala ibadat yang berlipat kali banyaknya.

Tetapi, apabila datangnya PRK, timbul satu persoalan iaitu cara dan strategi untuk menang oleh parti yang bertanding.

Hakikatnya orang Islam melihat kemenangan dalam konteks cabaran yang akan dihadapi dan ada sesetengah pihak lagi melihat ia harus dilakukan dalam apa cara sahaja sekali gus tidak memandang dan menghormati bulan puasa.

Dalam senario ini, kita lihat dalam peringkat 'warming up' sekarang, di Sungai Besar dan Kuala Kangsar sendiri, pastinya ada pengundi yang bukan beragama Islam.

Kali ini dilihat yang mewakili orang Cina lebih terjurus kepada parti PAN, walaupun Barisan Nasional (BN) itu ada komponen Cina dan India, pemerhati melihat tatalaku calon PAN mewakili keseluruhan adab Pakatan Harapan.

Bagaimanapun, keterampilan atau kehadiran pemimpin tertinggi PKR pada awal ini masih belum jelas.

Misalnya di Sungai Besar terutama di Sekinchan, ia banyak dipelopori dan dikuasai Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ronnie Liew manakala di Kuala Kangsar pula lebih didominasi Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dengan bayangan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli sesekali muncul di khalayak.

Mungkin taktik itu ada muslihatnya, atau ada benda di dalamnya yang tersirat namun sekiranya kita lihat kepada teori politik keterbukaan, kita akan terfikir kenapa ia tidak dilakukan PKR dalam kempen kali ini.

Pastinya cara kempen tradisional seperti ceramah, bersalam-salaman bersama penduduk, menaikkan poster, bendera dan memakai baju T yang berlambang parti atau muka calon menunjukkan proses kempen sedang berlangsung di kawasan berkenaan.

Kempen kotor

Bagaimanapun, kali ini warga Islam sedikit tersentuh apabila melihat ada gaya kempen yang tidak menunjukkan semangat Ramadan dan ibadah berpuasa itu sendiri.

Seperti di Sungai Besar, papan iklan yang menyentuh sensitiviti kaum dan penuh unsur propaganda menghina, memperlekeh serta fitnah yang diturunkan pihak berkuasa sebelum ini membuktikan adab Ramadan tidak dijaga parti yang berkenaan.

Sama situasinya di Kuala Kangsar apabila ada parti yang masih mahu berceramah pada waktu Tarawih dan membuktikan mereka tidak menghormati bulan Ramadan.

Ia semakin parah apabila Timbalan Pengerusi PAN Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengaitkan kematian dua Ahli Parlimen BN dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak 5 Mei lepas sebagai balasan Allah.

BACA: PRK Kuala Kangsar: Kenyataan Nizar biadab - Hishammuddin

Tindakan itu pastinya tidak tepat pada saat orang Islam mahu membersihkan diri dengan ibadah pada bulan suci ini.

Sama sahaja di Sungai Besar atau Kuala Kangsar, semua calon yang bertanding beragama Islam dan pastinya mereka ini tahu apakah sepatutnya tingkah laku atau adab yang harus dibawa sepanjang minggu kempen kali ini.

Ini juga peluang untuk calon-calon ini menjadi contoh dia merupakan seorang Islam yang beradab, tidak boleh terlampau terbawa-bawa dengan semangat untuk menang PRK sehingga unsur agama diketepikan.

Cabarannya kempen pada bulan puasa, calon akan berbicara dan berhujah kepada masyarakat yang majoritinya Islam yang juga berpuasa.

Kerana itu calon perlu melihat strategi berjumpa masyarakat secara 'walkabout', ceramah atau apa sahaja penggunaan teknologi untuk memastikan propagandanya sampai terus ke minda pengundi.

Misalnya di Sungai Besar, calon BN, Budiman Mohd Zohdi memberitahu dalam setiap programnya tentang semangatnya yang menjadikan masyarakat bangga terhadap iltizam anak muda itu sendiri.

Jiwa perwira

Manakala di Kuala Kangsar pula, senarionya cukup syahdu dan masyarakat pasti tersentuh apabila melihat semangat empat anak muda yang mahu menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan ibunya, calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid sepanjang minggu berkempen.

Jadi bagaimana getir empat orang yang mewakili satu nama, sebuah keluarga akrab yang mahu menyambung bakti kepada masyarakat Kuala kangsar ini berkempen pastinya meninggalkan satu sentuhan yang tidak boleh dilupakan masyarakat di sana.

PRK Kuala Kangsar
Semangat empat perwira yang membawa harapan ibu, dalam keadaan kehilangan bapa ini tidak lagi melihat ke belakang dan mahu terus menyumbang kepada kemajuan Kuala Kangsar itu harus menjadi satu kebanggaan.

Tentu apabila ada warga emas di Kuala Kangsar yang melihat wajah anak-anak Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad sebagai bayangan pemimpin mereka, ia satu tingkah politik yang disyukuri pengundi sendiri.

Apa yang diperkatakan warga emas itu menyentuh mereka yang mahu melihat tingkah adab politik masyarakat Islam yang sedang berpuasa.

Situasi sama di Sungai Besar apabila ada warga emas yang meluahkan rasa memberitahu Budiman tidak pernah lupa tempatnya belajar membuktikan tamadun kempen yang dibawa BN itu tidak pernah luput di hati masyarakat sejak lama dahulu.

KIta tidak mahu tamadun biadab dalam berkempen yang menjejaskan kepimpinan tertinggi parti.

Waima apa yang dibuat itu boleh menyebabkan hati tersentuh atau tercabar mahupun mengganggu proses ibadah pada bulan Ramadan, ia bukan proses ketamadunan adab.

Ini bukan kempen PRK pertama di bulan Ramadan, sebarang kekecohan hanya menimbulkan rasa malu kepada parti bertanding.

Pendekatan menyatakan apa program dan apa yang mahu dilakukan calon adalah paling baik dipamer kepada masyarakat.

Jangan jadikan pengundi seolah-olah dikunci mulutnya, mindanya dan mengundi dalam penuh keterpaksaan.

Sebagai contoh, pengundi mahu tahu apakah perbezaannya pengundi PAN dengan PAS yang asalnya dari 'kandungan' yang sama.

Pengundi pasti akhirnya akan membandingkan kelemahan PAS, PAN dan keluarga Pakatan Harapan dengan kemantapan BN yang berpuluh-puluh tahun berkhidmat untuk rakyat.

Lihat adab masing-masing di depan cermin, ia menunjukkan wajah dan niat sebenar parti masing-masing yang tidak boleh ditampal solekan kejujuran yang penuh bermuka-muka.