Pakatan Harapan (PH) mengumumkan M.Manogaran sebagai calon parti itu yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Perkara itu diumumkan Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu sidang media di ibu negara, hari ini.

“Kita sudah melakukan rundingan daam mesyuarat tadi, calon yang kita pilih ialah M.Manogaran. Kita akan menang dalam PRK nanti. Kita tak tahu siapa akan bersaing dengan kita, namun walau siapa pun bertanding, kita akan selesaikan masalah, “ katanya.

M.Manogaran adalah bekas calon parti DAP yang tidak berjaya merampas kerusi itu dari Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Pada PRU14, Sivarajjh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands yang membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Sivarraajh memperoleh 10,307 menewaskan Manogaran dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) (9,710 undi); Wan Mahadir Wan Mahmud dari PAS (3,587 undi); Mohd Tahir Kassim dari Berjasa (81 undi) dan B Suresh Kumar dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) (680 undi).

Penamaan calon PRK Cameron Highlands akan diadakan pada 12 Januari dan pengundian pada 26 Januari ini.