Kehadiran dua pasangan pengantin untuk mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada Sabtu menarik perhatian ramai.

Pasangan Abdul Rahim Idris, 28, dan Ainul Aqilah Abdul Halim, 23, yang memakai pakaian pengantin berwarna merah hati serta Muhamad Aizat Zulkifli, 27, dan Siti Hajar Idris, 27, yang mengenakan busana perkahwinan warna biru gelap, tiba di pusat mengundi di Dewan Semai Bakti, Felda Chini 3 kira-kira 2.45 petang.

Abdul Rahim dan Siti Hajar, yang merupakan adik-beradik, hadir untuk mengundi selepas selesai majlis resepsi mereka di rumah keluarga di Felda Chini 3.

Abdul Rahim yang bekerja dengan syarikat penyedia makanan di pelantar minyak berkata, tarikh majlis resepsi mereka pada hari ini dipilih selepas bernikah dan mengadakan kenduri perkahwinan sebelah pihak isterinya pada 25 Januari lepas di Balok, Kuantan.

"Saya memilih tarikh ini kerana adik saya, Siti Hajar turut merancang mengadakan majlis resepsi pada hari ini yang menjimatkan kos bagi keluarga kami. Saya bagaimanapun sebelum ini tak menyangka pengundian PRK Chini ditetapkan hari ini ," katanya ketika ditemui di pusat mengundi berkenaan, di sini, pada Sabtu.

Pengantin yang mengadakan majlis resepsi hari ini sempat menunaikan tanggungjawab mengundi. -Bernama

Sementara itu, Muhamad Aizat berkata beliau hanya datang menemani isterinya mengundi pada hari ini kerana beliau bukan pengundi di kawasan ini.

Katanya yang bernikah semalam, tarikh majlis mereka pada hari ini dipilih sejak bulan Disember tahun lepas, semasa mereka bertunang.

"Kami sebenarnya sudah membuat keputusan untuk membatalkan majlis kenduri ini kerana sebelum ini kerajaan tak benarkan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Namun, pengumuman kebenaran majlis dengan tetamu tidak lebih 250 orang pada minggu lalu membuatkan kami kembali mengadakannya pada hari ini," katanya yang bekerja sebagai penjawat awam.

Beliau yang sudah mengenali isteri sejak di bangku sekolah ketika mereka bersekolah di Pekan, berkata kenangan mengundi pada hari perkahwinan akan menjadi peristiwa yang tidak akan dilupakan.

PRK DUN Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain, 41, dan dua calon Bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

-- BERNAMA