Majlis Presiden Pakatan Harapan telah memutuskan parti DAP akan mewakili Pakatan Harapan pada Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong.

Perkara itu dimaklumkan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“DAP,” katanya ringkas pada satu sidang media selepas merasmikan Sambutan 7 Dekad Majlis Belia Malaysia (MBM) di sini hari ini.

Beliau turut mengulangi jawapan itu sebanyak dua kali bagi mengesahkan perkara berkenaan.

Kerusi DUN Balakong kosong ekoran kematian penyandangnya Ng Tien Chee dalam kemalangan kira-kira jam 1 pagi Jumaat.

Ng, 40 tahun, yang memandu kenderaan jenis Nissan X-Trail dari arah Kuala Lumpur ke Kajang maut selepas melanggar belakang sebuah lori di km11.7 Lebuhraya Grand Saga.

Wakil rakyat DAP itu maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Pada pilihan raya umum 9 Mei lepas, Ng mengekalkan kerusi Balakong untuk penggal kedua selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan Pas dengan majoriti 35,538 undi.