Tutup

PRK DUN Rantau bukan tugas mudah - Mohamad Hasan

PRK DUN Rantau bukan tugas mudah - Mohamad Hasan
MOHAMAD: UMNO akan terus bekerjasama dengan Pas seperti yang dilakukannya pada PRK negeri Semenyih.
REMBAU: Datuk Seri Mohamad Hasan tidak menganggap usaha mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada pilihan raya kecil (PRK) kelak sebagai satu tugas mudah.

"Saya perlu lebih berhati-hati dan bekerja lebih keras kerana saya akan berdepan calon dari parti kerajaan," kata Timbalan Presiden UMNO itu merujuk kepada Pakatan Harapan (PH) yang memerintah, yang terdiri daripada gabungan Bersatu, PKR, DAP dan Amanah.
Esok (Sabtu) ialah hari penamaan calon bagi PRK Rantau dan hari pengundian ditetapkan pada 13 April.

PRK Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov lepas yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN berkenaan pada PRU14, terbatal dan tidak sah.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Mohamad disytiharkan menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas lawannya Dr S. Streram daripada PKR dilarang masuk ke pusat penamaan calon ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan SPR.

Bercakap pada sidang media, Mohamad merujuk kepada kenyataan setiausaha penganjur DAP Anthony Loke Siew Fook bahawa PRK Rantau merupakan ibu kepada segala pilihan raya kecil.

Mohamad juga berkata UMNO akan terus bekerjasama dengan Pas seperti yang dilakukannya pada PRK negeri Semenyih.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu mendakwa terdapat sesetengah pihak yang bertaruh keputusan PRK itu dan beliau menasihati mereka supaya menghentikannya bagi mengelak perbuatan itu mempengaruhi para pengundi dan seterusnya mempengaruhi keputusan PRK itu.

Mohamad berkata, beliau bagaimanapun tidak akan membuat laporan polis mengenainya.

Kawasan DUN Rantau mempunyai 29,926 pengundi berdaftar, yang terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, 118 pengundi awal dan empat pengundi tidak hadir.PRK DUN Rantau adalah PRK ketujuh sejak PRU14.

Pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini adalah PRK negeri Sungai Kandis (4 Ogos tahun lepas); kerusi negeri Balakong dan Seri Setia (8 Sept tahun lepas); kerusi Parlimen Port Dickson (13 Okt tahun lepas); kerusi Parlimen Cameron Highlands (26 Jan) dan kerusi negeri Semenyih (2 Mac).

-- BERNAMA


Tag: PRK, pilihan raya kecil, DUN, DUN rantau, mohamad hasan, politik, pakatan harapan, barisan nasional



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.