Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun memberi peringatan kepada semua parti politik supaya menghentikan aktiviti berkempen dengan serta-merta.

Menurut Azhar, beberapa aduan diterima pihak SPR berkenaan salah laku ini yang terjadi berdekatan pusat-pusat mengundi di sini.

“Barung dan pondok panas sebenarnya tidak dibenarkan dan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya, 1954.

“Saya sudah tekankan perkara ini banyak kali. Kami menerima banyak laporan mengenai barong panas ini di mana kemudahan itu disalahgunakan,” katanya kepada media ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Rinching, di sini, pada Sabtu.

Bagaimanapun, kata Azhar, pondok rehat dibenarkan untuk diletak di luar pusat mengundi, asalkan tiada aktiviti kempen dijalankan di situ.

“Kalau nak buka pondok rehat tanpa ada apa-apa aktiviti meraih undi, itu dibenarkan,” katanya lagi.

Mengenai isu penyokong parti politik yang memakai pakaian yang mempunyai logo atau bendera parti di luar pusat mengundi, beliau berkata ia tidak salah di sisi undang-undang.

“Kita tak boleh nak larang orang pakai baju ada logo atau bendera parti kerana kita tidak ada kuasa tentang perkara ini," kata Azhar.

Beliau berkata demikian susulan dakwaan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang mengatakan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) masih berkempen secara terbuka di luar pusat-pusat mengundi.


Ahli Jawatankuasa Pusatnya, S Arutchelvan melahirkan kekecewaan dengan situasi itu dan berkata satu laporan telah dibuat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) beserta gambar sebagai bukti.

Apabila ditanya mengenai dakwaan calon PH Muhammad Aiman Zainali yang dikatakan berkempen di dalam kawasan pusat mengundi, Azhar memberi amaran tegas bahawa itu merupakan satu kesalahan.

Peringatan itu turut diajukan kepada pihak media agar tidak bertanya soalan berkaitan kempen kepada calon pada hari pengundian.

“Media pun janganlah tanya soalan begitu. Kalau anda tanya soalan begitu pasti dia (calon) jawab.

“Kalau dia jawab undilah saya, ini memang tidak dibenarkan kerana waktu berkempen sudah tamat.

“Kalau boleh saya minta pihak media jangan tanya soalan siapa patut diundi (kepada calon) kerana mengikut undang-undang, ia dikira sebagai membantu membuat kesalahan,” katanya lagi.