Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

PRK Kimanis ukuran prestasi rakyat kepada PH - Presiden Gerakan

PRK Kimanis ukuran prestasi rakyat kepada PH - Presiden Gerakan
DOMINIC: PRK Kimanis mencatatkan sejarah kekalahan kelima buat kerajaan baharu sejak mentadbir negara. - Gambar Facebook
KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis bukanlah pertandingan semata-mata tetapi ukuran prestasi pentadbiran kerajaan baharu yang semakin buruk.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau menegaskan, ia juga merupakan petanda bahawa kerajaan baharu perlu sedia dengan kekalahan yang lebih besar pada hari mendatang.

"PRK Kimanis mencatatkan sejarah kekalahan kelima buat kerajaan baharu sejak mentadbir negara. Keputusan itu memberi gambaran betapa rakyat menolak kerajaan baharu.

"Malah dakwaan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa rakyat tidak merasai lagi pembaharuan dan jasa kerajaan baharu adalah alasan yang tidak relevan.
"Hakikatnya penolakan itu membuktikan bahawa kerajaan baharu ini bakal tumbang menjelang PRU akan datang," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.

Dr Mahathir sebelum ini menganggap kekalahan Warisan pada PRK Kimanis mungkin disebabkan pengundi di kawasan itu belum merasai kebaikan pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Beliau bagaimanapun yakin lambat laun rakyat di negeri itu umumnya, akan memahami dan merasai bahawa pemerintahan kerajaan hari ini adalah lebih baik berbanding kerajaan terdahulu.

Sementara Guan Eng pula berkata, prestasi PH tidak boleh dinilai berdasarkan keputusan pada PRK sahaja, tetapi ia perlu dilihat dalam skop lebih besar.

Jelasnya, kemenangan besar PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) perlu diambil kira kerana ia menggambarkan suara rakyat secara keseluruhan.

Dalam pada itu kata Dominic, Gerakan percaya kekalahan itu berpunca dari pelbagai faktor antaranya seperti isu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), tol dan harga barang.

"Maka dengan itu, kerajaan baru perlu berhenti menabur pelbagai gula-gula seperti pengurangan tol 18 peratus, e-tunai dan sebagainya kerana rakyat tidak mendambakan pemberian sedemikian rupa.

"Sebaliknya rakyat menuntut kerajaan baharu menunaikan janji mereka pada PRU lalu untuk mengurangkan pelbagai masalah dan dilema rakyat seperti kos sara hidup, pendidikan percuma dan sebagainya," jelasnya.

Pada Sabtu, Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Parlimen Kimanis menerusi kemenangan calonnya, Datuk Mohamad Alamin dengan majoriti 2,029 undi.

Mohamad menewaskan calon Warisan, Datuk Karim Bujang yang mendapat 10,677 undi dalam persaingan satu lawan satu itu.


Tag: Pilihan Raya Kecil, Lim Guan Eng, Mahathir Mohamad, Pakatan Harapan, GERAKAN, Barisan Nasional, pilihan raya, rakyat, Kimanis



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.