Pengundi di Permatang Pauh diharap memberi peluang kepada calon Barisan Nasional (BN) berkhidmat sekurang-kurangnya dua tahun setengah di kawasan itu sekali gus membawa pembaharuan sebelum membuat keputusan muktamad pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, penduduk di Permatang Pauh sendiri sebenarnya memerlukan pembangunan selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) ini kerana sekian lama terpinggir dan terkebelakang dari segi kemodenan.

"Beri BN peluang, ada dua tahun setengah lagi sebelum PRU ke-14. Jika BN gagal memberi khidmat terbaik dalam baki masa yang ada sebelum PRU ke-14 ini, mereka boleh undi PKR semula.

"Jika tidak diberi peluang, bagaimana BN mahu membuktikan usaha membawa pembangunan kepada penduduk Permatang Pauh? Apakah selama ini penduduk berpuas hati dengan apa yang dibawa PKR di situ?" katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Musa mengulas kenyataan Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang menyifatkan Parlimen Permatang Pauh bukan sahaja berdepan isu 'sendirian berhad' tetapi juga soal pembangunan dan anggota Parlimen yang boleh membawa pembaharuan.

Jelas Shahrizat, maklum balas daripada peringkat akar umbi menyatakan pengundi di Permatang Pauh mengutamakan pembangunan dan sudah bosan dengan janji kosong pakatan pembangkang.

Dalam pada itu kata Musa, hampir kebanyakan pembangunan yang ada di Permatang Pauh adalah warisan BN satu masa dahulu.

"Cuba senaraikan apa yang PKR buat selama mereka menjaga Permatang Pauh, masyarakat di sana mahukan pembangunan dan bukan retorik semata-mata.

"Pengundi perlu beri peluang kepada BN, jangan selepas Anwar, gantinya Wan Azizah atau anak-anaknya.

"Jika tidak sesuai atau BN tidak memenuhi kehendak pengundi dalam masa dua tahun setengah lagi, mereka bebas menukar kepada calon PKR pada PRU kelak," katanya.

Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata, mereka telah menyerahkan dua nama calon kepada pucuk pimpinan parti untuk dipertimbangkan bagi bertanding pada PRK Parlimen Permatang Pauh.

Tegasnya, dua nama yang dicadangkan itu itu adalah calon yang terbaik dan memenuhi kriteria yang diinginkan BN.

PRK Parlimen Permatang Pauh diadakan selepas kerusi itu diisytihar kosong apabila penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai Anggota Parlimen setelah Lembaga Pengampunan menolak petisyen bagi pengampunan diraja yang dipohon keluarga Anwar atas sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh, Selangor.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 25 April ini untuk hari penamaan calon manakala pengundian awal 3 Mei dan hari pengundian pada 7 Mei.