Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P132 Port Dickson akan menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara Pakatan Harapan, Pas dan lima calon Bebas.

Sejumlah lapan individu hadir untuk menghantar borang pencalonan sepanjang satu jam pusat penamaan calon dibuka dari pukul 9 pagi.

Bagaimanapun, satu permohonan ditolak, menurut Pegawai Pengurus PRK Port Dickson, Khairi Maamor.

"Saya telah terima kertas penamaan daripada lapan calon untuk bertanding dan hanya satu kertas ditolak," katanya.

Calon Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim menghantar borang pencalonannya pada jam 9:11 pagi.

Tidak lama selepas itu, bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan menyerahkan borangnya pada 9:16 pagi atas tiket Bebas.

Terdahulu, bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad hadir menghantar kertas pencalonannya pada 9:03 pagi manakala calon Pas Mohd Nazari Mokhtar pada 9:04 pagi.

Calon-calon lain yang akan turut bertanding adalah Lau Seck Yan (Bebas), Stevie Chan Keng Leong (Bebas) dan Kan Chee Yuen (Bebas).

Manakala calon yang ditolak penamaannya ialah calon Bebas, A. Rajendra.

Selain Mohd Isa dan Saiful Bukhari yang hanya mengumumkan bertanding pada saat-saat terakhir, kehadiran calon Bebas seperti Lau, Kan dan Rajendra sama sekali tidak dijangka.

Dua individu yang dikatakan berminat untuk bertanding sebelum ini, pengerusi Hisbah Datuk Mohd Ezam Mohd Noor dan wakil Parti Rakyat Malaysia (PRM) Ahmad Kamaruddin, juga tidak muncul sehingga tempoh pencalonan ditutup.

Lau merupakan calon terawal tiba iaitu pada pukul 8.20 pagi manakala Rajendra merupakan individu terakhir tiba di pusat penamaan iaitu 9.57 pagi, tiga minit sebelum tempoh masa penyerahan kertas pencalonan ditutup.

Kertas pencalonan Rajendra ditolak kerana pencadangnya bukan pemilih berdaftar Parlimen Port Dickson.

Penyandang P132 Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi Parlimen itu pada 12 September lalu bagi memberi laluan kepada Anwar, yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, kembali ke Dewan Rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, Danyal memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 17,710 undi, menewaskan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada Pas.

Ini adalah PRK keempat sejak PRU14. Tiga pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini ialah bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, DUN Seri Setia dan DUN Balakong - semuanya di Selangor.

SPR menetapkan 13 Okt ini sebagai hari mengundi manakala 9 Okt sebagai hari pengundian awal.

Parlimen Port Dickson memiliki 75,770 pemilih berdaftar dengan 68,468 orang adalah pemilih biasa, 7,268 pemilih awal dan 16 orang pemilih tidak hadir luar negara.

PRK itu melibatkan seramai 1, 403 petugas pilihan raya dengan 39 premis digunakan sebagai pusat mengundi membabitkan 171 saluran.