Calon Pakatan Harapan (PH), Dr S. Streram mengakui ada penduduk yang bergurau dengan memanggilnya "bomba" pada hari pertama kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Ahad.

Sambil tergelak dengan reaksi penduduk berkenaan, beliau memahami bahawa sindiran itu adalah hanya kerana video lama yang tular di laman sosial baru-baru ini.

Ia menjadi konflik apabila Dr Streram didakwa memberikan kenyataan bahawa tiada Balai Bomba di Rantau.

Menjelaskan perkara itu, Streram berkata video berkenaan berlaku pada Mac 2018 iaitu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 dan ketika itu balai bomba di kawasan itu belum beroperasi dan seperti terbengkalai.

"Pada 25 Mac 2018, ada satu kebakaran di rumah sebuah keluarga Melayu di Taman Bunga Sejati. Rumah itu terbakar sepenuhnya dan saya tanya macam mana dan berapa lama Bomba tiba. Mereka beritahu, sejam lebih.

"Saya berkata ada Balai Bomba tetapi seakan tiada pergerakan di sana. Jadi saya pergi ke Balai Bomba itu dan saya nampak macam 'projek tergendala' dan saya buat kenyataan tentangnya.

"Pada 2018, tiada bangunan yang berfungsi sebagai Balai Bomba. Apa saya kata itu betul," katanya semasa berkempen di kawasan perumahan di Bandar Ekar pada Ahad.

Menurutnya lagi, beliau berharap Balai Bomba Rantau akan dapat beroperasi sepenuhnya dalam masa terdekat.

"Balai Bomba itu dijangka beroperasi bulan depan. Mungkin pembukaan akan dibuat PH. Pada ketika ini, bantuan diberikan oleh pihak Bomba di Ulu Rantau, Seremban dan Labu jika berlaku kebakaran di Rantau.

"Saya harap operasi balai bomba ini dipercepatkan memandangkan penduduk di sini ramai," ujarnya.