Faktor kegagalan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji manfesto, isu kos sara hidup, prestasi kerajaan Negeri Sembilan yang tidak memuaskan dan persepsi PH gagal membela Melayu Islam merupakan penyebab pengundi akan kembali memilih Barisan Nasional yang diwakili Datuk Seri Mohamad Hasan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Badan kajian Ilham Centre menjangkakan Mohamad akan mengekalkan kerusi DUN Rantau dengan peralihan undi daripada PH kepada BN sebanyak 24.5 peratus.

Kajian yang dibuat ke atas 396 responden menunjukkan pengundi lebih cenderung menyokong bekas menteri besar dan bekas Adun Rantau selama tiga penggal itu.

Menurut Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Azlan Zainal, calon BN ternyata unggul dan diterima oleh semua segmen pengundi termasuk pengundi India dan Cina.

"Trek rekod beliau sebagai Menteri Besar dan ADUN Rantau selama tiga penggal serta anak jati Rantau memberi kelebihan besar dalam kempen pilihanraya kecil ini, dapatan menunjukkan seramai 87.4 peratus responden bersetuju dengan faktor ini.

"Pendekatan beliau yang mudah mesra, kerap turun padang bertemu rakyat, merendah diri dan prihatin dengan kebajikan rakyat menambat hati pengundi di sini.

"Responden juga bersetuju bahawa Tok Mat mempunyai kredibiliti yang lebih tinggi sebanyak 81.6 peratus berbanding calon PH, Dr S Streram 17.7 peratus dan lain-lain calon," kata Azlan.

Kajian Ilham Centre juga mendapati pengundi India tidak sepenuhnya menyokong calon PH, Dr S Streram atas faktor beliau kurang dikenali berbanding Ketua Cabang PKR Rembau, R Tanggam.

Selain itu jentera PH juga gagal menerobos undi Melayu dan tidak dikoordinasi sebagai sebuah pakatan antara PKR, Bersatu, Amanah dan DAP.

"Mereka bergerak mengikut jentera parti masing-masing dan tiada penyelarasan yang tersusun. Jentera PKR lebih dominan dan penglibatan jentera parti lain dilihat sangat minima.

"Ini ditambah pula jentera PH banyak digerakkan oleh jentera luar berbanding jentera BN yang lebih banyak digerakkan oleh orang tempatan yang diketuai oleh Tok Mat sendiri.

"Jentera BN dilihat lebih fokus dan sistematik kepada kumpulan sasaran sepanjang kempen berjalan," katanya lagi.

PH juga kata Azlan terlalu bergantung kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memobilisasi gerakan kempen dalam PRK DUN Rantau.