Jawatankuasa Pilihanraya Pakatan Harapan (PH) akan bersidang bagi menentukan sebarang keputusan melibatkan isu pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan.

Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata buat masa ini, persediaan sudah dimulakan di kawasan dan negeri berkenaan.

"Kita belum buat lagi persiapan khusus sebab baru sahaja selesai PRK Semenyih.

"Jawatankuasa pilihanraya kita akan bersidang, dan persediaan lain sebenarnya sudah dimulakan di negeri dan kawasan."

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Pelantikan Ahli RCI bagi isu pemerdagangan manusia dan kubur di Wang Kelian, Perlis di sini, pada Selasa.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan urusan PRK DUN Rantau pada Rabu ini.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 18 Februari lalu menolak petisyen difailkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November tahun lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN Rantau terbatal dan tidak sah.

Pada 29 November tahun lalu, Mohamad memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan.

Calon PKR bagi DUN Rantau pada PRU-14, Dr S Streram merangkap Naib Ketua PKR Cabang Rembau, memfailkan petisyen pada 23 Mei tahun lalu untuk membatalkan keputusan SPR yang mengisytiharkan Mohamad memenangi kerusi DUN Rantau.