Seramai tiga calon bebas bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) P.186 Sandakan.

Antaranya Hamzah Abdullah yang pernah menjadi calon untuk kali ketujuh.

Menurutnya, walaupun tewas enam kali dia tidak pernah berputus asa demi membawa suara rakyat.

“Ini adalah kali ketujuh saya bertanding sejak 36 tahun saya menceburkan diri dalam politik.

“Lima kali Parlimen dan dua kali sebagai calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Tetapi semua saya tewas.

“Namun saya tidak pernah berputus asa dan kali ini saya yakin adalah peluang terbaik saya untuk membawa suara rakyat ke parlimen,” katanya ketika ditemu ramah semasa penamaan calon di Dewan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua, Sandakan, pada Sabtu.

Menurutnya, kehidupan masyarakat di Sandakan semakin tertekan dan dia akan menyuarakan semua itu di Parlimen jika menang nanti.

Sementara itu, Sulaiman Abdul Samat yang juga bekas Pembantu Tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan berkata dia bukannya menentang bekas majikannya iaitu mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt.

Namun, dia mempunyai misi tersendiri yang menurutnya wajib diketengahkan sekali gus perlu menjadi wakil rakyat untuk menyudahkan misi tersebut.

“Mereka memberikan respons positif selepas tahu saya bertanding dan mungkin mereka akan terasa sedikit selepas saya keluar pejabat.

“Tetapi, saya bertanding bukan untuk memusuhi mendiang tapi saya mahu kerusi P186 Sandakan," katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi calon Bebas iaitu Chia Siew Yung berkata, dia yang berasal dari Sandakan mahu membantu rakyat di situ.

“Kita nampak kesusahan rakyat dan kita perlu suarakan. Sebab itu saya bertanding,” kata Chia.

Tiga calon Bebas ini akan bersaing dengan dua lagi calon yang mewakili Pakatan Harapan (PH) dengan tiket DAP iaitu Vivian Wong Shir Yee dan Datuk Linda Tsen mewakili Parti Bersatu Sabah (PBS).