Tutup

PRK Sandakan: Nasib pertembungan 5 calon hari ini

PRK Sandakan: Nasib pertembungan 5 calon hari ini
SPR sasar 70 peratus keluar mengundi di 19 pusat pengundian melibatkan 90 saluran -Foto AstroAWANI
SANDAKAN: Seramai 39,684 orang pengundi layak menunaikan tanggungjawab mereka dalam menentukan nasib lima calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan hari ini.

Parlimen Sandakan yang mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Tanjong Papat dan Elopura mempunyai sejumlah 40,131 pemilih layak mengundi, termasuk 172 undi pos, 270 pengundi awal dan lima pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi di 19 pusat pengundian melibatkan 90 saluran yang dibuka tepat jam 7.30 pagi.

PRK kali ini menyaksikan pertembungan lima penjuru antara calon DAP, Vivian Wong Shir Yee; Datuk Linda Tsen Thau Lin (PBS) dan tiga lagi calon bebas iaitu Hamzah Abdullah, Sulaiman Abdul Samat dan Chia Siew Yung.
Selain Vivian dan Linda yang menggunakan simbol parti masing-masing, Hamzah menggunakan simbol pokok, Sulaiman (kerusi) manakala Chia pula menggunakan simbol kunci.

Bagaimanapun, daripada lima yang bertanding, hanya tiga calon sahaja yang layak mengundi di Parlimen Sandakan iaitu Vivian, Sulaiman dan Chia.

Manakala Linda yang merupakan bekas Ahli Parlimen Batu Sapi dan lawan tradisinya, Hamzah merupakan pengundi bagi Parlimen Batu Sapi.

SPR menjangkakan keputusan rasmi akan diumumkan selewat-lewatnya jam 10 malam selepas proses pengundian tamat jam 5 petang.

Kerusi Parlimen Sandakan kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt, yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, pada 28 Mac lalu di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Wong memenangi kerusi P186 Sandakan itu dengan majoriti 10,098 undi selepas memperoleh 19,094 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Lim Ming Ho yang mendapat 8,996 undi.

Penyandang kerusi Parlimen Sandakan sering bertukar tangan sejak PRU11 pada 2004 apabila calon bebas, Chong Hon Min memenangi kerusi itu diikuti Datuk Liew Vui Keong pada PRU12 dan dirampas oleh Stephen Wong pada PRU13.