Pakatan Harapan akan meletakkan calon muda yang berkelulusan tinggi dan diterima rakyat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, kata Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin menjelaskan kerusi DUN Semenyih masih milik Bersatu dan pihaknya mempunyai senarai nama yang berkemungkinan dipilih menjadi calon.

Namun beliau menjelaskan, Bersatu dan Pakatan Harapan tidak akan terburu-buru untuk menamakan calon yang akan bertanding dalam PRK DUN Semenyih.

"Kita percaya kita akan meletakkan calon yang paling layak, muda juga orangnya, berkelulusan tinggi, memang diterima oleh masyarakat dan saya kira mungkin jadi calon yang paling layak dan sesuai.

"Tetapi masa untuk diumumkan itu terlalu awal, kita akan beritahu bila tiba masa yang sesuai," katanya pada sidang media selepas melancakan buku yang ditulis Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad bertajuk 9 Mei 2018 - Dari Garis Depan.

Muhyiddin juga menjelaskan, beliau akan berbincang dengan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai calon yang akan bertanding di PRK DUN Semenyih.

Katanya, senarai calon-calon tersebut telah diteliti oleh Bersatu Selangor sebelum diserahkan kepada beliau.

"Dah ada banyak pertemuan, mesyuarat di peringkat Bersatu kerana kerusi itu masih Bersatu. Dan ada nama-nama yang telah kita dapatkan dari pimpinan Bersatu di bahagian. Telah diteliti juga pimpinan Bersatu negeri

"Senarai itu telah dikemukakan kepada saya. Tapi saya kena rujuk kepada Tun (Dr Mahathir Mohamad) untuk kita selesaikan.

"Kita ada masa lagi jadi kita tak terburu-buru," katanya lagi.

PRK tersebut diadakan susulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Bakhtiar Mohd Nor yang juga anggota Bersatu meninggal dunia.