UMNO dan Pas Selangor akan mengadakan gerak kerja bersama pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih nanti, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"UMNO amat berterima kasih kepada Pas kerana bukan sahaja memberi laluan tetapi komited dalam membantu kemenangan Barisan Nasional (BN).

"Keputusan Pas memberi laluan jelas menunjukkan semangat kesetiakawanan serta keikhlasan parti itu bekerjasama bagi mempertahankan Islam," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Selain itu, Ismail berkata Jawatankuasa Pengurusan UMNO Selangor juga telah bersetuju mencadangkan lima atau enam nama calon bagi PRK itu untuk dipertimbangkan pengurusan UMNO pusat.

PRK DUN Semenyih akan diadakan pada 2 Mac dan penamaan calon ditetapkan pada 16 Feb, manakala hari mengundi awal pada 26 Feb.

PRK berkenaan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Allahyarham Bakhtiar, mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memperoleh 23,428 undi menewaskan tiga calon lain, Datuk Johan Abd Aziz (BN), Mad Shahmidur Mat Kosim (PAS) dan S. Arutchelvan (PSM) dengan majoriti 8,964 undi.