Pemansuhan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) secara berperingkat tidak akan menjejaskan peluang Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, kata Calon PH Halimey Abu Bakar.

Beliau yakin pengundi di kawasan itu hanya mahukan DUN itu terus ditadbir oleh kerajaan PH.

"Sepanjang tempoh berkempen ada rakyat Seri Setia yang kita temui akui tidak kisah dengan isu pemansuhan berkenaan, sebaliknya mereka hanya mahukan kemenangan PH.

"Rakyat di sini lebih suka bercerita tentang Inisiatif Peduli Rakyat (IPS) dan tidak sedikit pun menyentuh isu pemansuhan BR1M, Janji 100 Hari PH atau isu lain," katanya kepada Bernama, pada Isnin.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhasrat mengurangkan BR1M secara berperingkat sebelum dimansuhkan sepenuhnya selain melabel inisiatif itu sebagai satu bentuk rasuah dan tidak diagihkan secara saksama kepada kumpulan yang sepatutnya.

Dalam perkembangan lain, Halimey yakin dengan sokongan rakyat di situ terutama dalam kalangan pengundi muda terhadap dirinya dan kerajaan PH.

"Saya adalah calon tempatan dan lebih dekat dengan rakyat di sini, malah ketika berkhidmat sebagai anggota majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya, pelbagai kemudahan infrastruktur sudah dilaksanakan di sini," katanya.

Halimey bakal berdepan calon PAS Dr Halimah Ali yang juga bekas Exco kerajaan negeri untuk mengisi kekosongan kerusi DUN itu.

PRK Seri Setia diadakan selepas penyandangnya Prof Dr Shaharuddin Badaruddin (PKR) meninggal dunia akibat barah usus pada 2 Ogos.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Seri Setia dan DUN Balakong diadakan serentak 8 Sept ini. Kerusi DUN Balakong juga kosong selepas penyandangnya Eddie Ng Tien Chee maut dalam kemalangan pada 20 Julai lepas.

-- BERNAMA