UMNO bersama parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) akan melakukan perbincangan bersama Pas untuk meletakkan hanya seorang calon mewakili pihak pembangkang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, Selangor pada 4 Ogos ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbincangan itu dibuat sebagai salah satu strategi oleh pihak pembangkang untuk memastikan pertadingan satu lawan satu pada PRK itu sekali gus meningkat peluang calon terpilih untuk menang.

“Kita perlu mengadakan perbincangan dengan parti-parti lain yang menjadi pembangkang khususnya Pas untuk menentukan bahawa seorang calon sahaja akan bertanding.

“Kita akan ambil perkiraan keboleh menangan kepada parti dan juga keboleh sokongan calon yang bakal bertanding di DUN Sg Kandis, ertinya dari pihak pembangkang termasuk UMNO dan parti-parti komponen di bawah BN kita setuju hanya seorang (calon) sahaja,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Kesyukuran Meraikan Bakal-Bakal Haji kawasan Parlimen Bagan Datuk di Wisma UMNO Bagan Datuk pada Khamis.

Tambah beliau, perbincangan untuk mengunakan logo UMNO pada PRK itu juga turut akan dibincangkan dalam masa terdekat selepas ia dicadangkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Mohammad Hassan baru-baru ini.

“Kita belum meneliti secara rasmi perkara itu biar pun ia satu cadangan namun ia akan diperbincangkan dalam jawatankuasa pengurusan.

“Saya akan membawa perkara ini ke dalam Mesyuarat Jawatankuasa Politik atau Mesyuarat Biro Politik untuk kita lihat perincian terhadap kebertuntungan jika kita menggunalan logo di luar BN,” ujarnya.

Mengulas mengenai dana untuk berkempen pada PRK nanti susulan daripada pembekuan akaun UMNO pusat dan Selangor, Ahmad Zahid berkata beliau yakin masih ramai individu dan ahli parti itu sendiri akan membuat sumbangan untuk membantu gerak kerja parti semasa berkempen.

“Kami yakin bahawa mereka yang bersimpati dengan UMNO masih ramai lagi, mungkin biar pun sedikit sumbangan dibekalkan oleh mereka, kami amat yakin komitmen dikalangan orang UMNO masih menebal.

“Kita tidak akan berbelanja seperti PRK terdahulu, tapi pegangan kita ialah low cost but high impact, itu pendekatan yang kita ambil,” ujarnya.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong susulan penyandang kerusi berkenaan Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.


Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 4 Ogos sebagai hari pengundian manakala hari penamaan calon pada 21 Julai ini.

Pada PRU14, Mat Shuhaimi memperoleh 23,998 undi menewaskan calon BN daripada UMNO, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon Pas, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hanafiah Husin (76).