Pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis disifatkan sebagai kayu pengukur sejauh mana penerimaan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan susulan kejayaan membentuk kerajaan selepas PRU14, Mei lalu.

Naib presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Shamsul Iskandar Md Akin berkata ia juga merupakan medan ujian awal kepada PH dalam menentukan hala tuju parti setelah diberi mandat mentadbir negara.

"Sungai Kandis ini penting sebagai ujian pertama Pakatan Harapan setelah diberi peluang menjadi kerajaan.

"Ini untuk menguji penerimaan rakyat terhadap dasar-dasar yang telah pun kita laksanakan, misalnya penghapusan GST enam peratus dan sebagainya.

"Jadi daripada segi persiapan kita bersedia; daripada segi isu juga tidak banyak yang boleh dimainkan oleh pembangkang," kata Shamsul Iskandar.

Beliau yang juga ahli parlimen Bukit Katil yakin PKR mampu mempertahankan kerusi berkenaan dalam PRK yang bakal diadakan pada 4 Ogos ini.

Terdahulu, beliau bersama Menteri Industri Utama, Teresa Kok mengadakan lawatan ke ibu pejabat Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) di Kota Bharu.

PRK DUN Sungai Kandis diadakan berikutan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.