Tutup

PRK Tanjung Piai: Kejayaan bersama Muafakat Nasional - Abdul Hadi

PRK Tanjung Piai: Kejayaan bersama Muafakat Nasional - Abdul Hadi
ABDUL HADI: Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kecil ini menjadi isyarat penolakan rakyat terhadap kegagalan PH membela kebajikan rakyat dan janji manifesto. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai disifatkan Pas sebagai penerimaan rakyat bermasyarakat majmuk terhadap agenda penyatuan ummah.

Menurut Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kemenangan itu seterusnya membuka peluang untuk mengukuhkan kerjasama dan integrasi yang lebih erat di peringkat nasional.
"Pas mengucapkan tahniah atas kemenangan calon BN yang mewakili suara pembangkang di PRK Tanjung Piai, dan menyifatkan keputusan ini sebagai kejayaan bersama Muafakat Nasional.

"Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kecil ini menjadi isyarat penolakan rakyat terhadap kegagalan PH membela kebajikan rakyat dan janji manifesto yang tidak tertunai, di samping petanda rakyat menolak budaya politik ekstrem dan fitnah melampau," ujar beliau dalam satu kenyataan.
Abdul Hadi juga merakamkan penghargaan kepada para ahli dan petugas Pas yang membantu dalam kempen PRK Tanjung Piai dengan penuh kepatuhan, dan juga menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Dalam keputusan yang diumumkan pada Sabtu malam, calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng menang dengan majoriti 15,086 undi. Beliau memperoleh undi berjumlah 25,466, jauh meninggalkan saingan daripada calon PH iaitu Karmaine Sardini yang cuma memperoleh 10,380 undi.

"Kepada Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, marilah kita bersama membela kebajikan rakyat dan mengukuhkan agenda perpaduan nasional dengan sebaiknya di Parlimen," ujar Abdul Hadi.

BACA: PRK Tanjung Piai: Pas sokong MCA, ini sebabnya...


Tag: prk tanjung piai, tanjung piai, tanjung piai memilih, pas, presiden pas, abdul hadi awang, politik, barisan nasional



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.