Tutup

PRK Tanjung Piai tamparan hebat kepada kerajaan memerintah - Anwar

PRK Tanjung Piai tamparan hebat kepada kerajaan memerintah - Anwar
Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perasmian Kongres Nasional Tahunan AMK di MITC Ayer Keroh hari ini. Foto BERNAMA
AYER KEROH: Tidak pernah dalam sejarah, kerajaan memerintah menerima tamparan sebegitu hebat, seperti mana yang menimpa kerajaan Pakatan Harapan sewaktu Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang lepas, kata Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun, beliau berkata, ia sewajarnya dijadikan iktibar dan dijadikan peringatan agar kerajaan masa kini tidak leka dengan kuasa yang dipegang, sebaliknya terus beriltizam memperjuangkan nasib rakyat.
“Tanjung Piai telah berlalu. Ini kejutan luar biasa dan sejarah dalam politik negara. Belum pernah dalam sejarah, kerajaan yang memerintah mendapat tamparan begitu hebat.

“Sebab itu perlu mengmbil iktibar, tawaduk, anggaplah itu sebagai peringatan kepada semua kepimpinan Pakatan Harapan,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena Kongres Nasional Keadilan ke-14, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Bagaimanapun, Anwar berkata, beliau gembira kerana seluruh kepimpinan Pakatan Harapan, termasuk Pengerusinya yang juga Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah membuat post-mortem menyeluruh bagi mengkaji sebab utama kekalahan itu, serta langkah yang perlu diambil untuk memperbaiki kerajaan.

Dalam ucapannya, Anwar turut mengimbau kembali perjalanan Keadilan, yang mula diasaskan di atas jalan raya pada 1999, dan kini menjadi parti tunjang dalam Pakatan Harapan.

Namun, jelasnya lagi, itu bukan bermaksud pimpinan dan ahli boleh menjadi leka dan mabuk dengan kuasa.

“Parti ini dibangun dengan derita sebagai parti jalanan. Tauke besar tidak bersama-sama dengan kita, orang kaya tidak memberi dana kepada kita tapi rakyat dan cita-cita bersama-sama dengan kita,” katanya.

Atas sebab itu, beliau meminta kesemua ahli dan pimpinan parti untuk terus komited, memegang teguh kepada asas perjuangan parti, iaitu membela kesemua nasib masyarakat, serta memastikan agenda reform dapat diterapkan dalam kerajaan.





Tag: PRK Tanjung Piai, pilihan raya kecil, tamparan hebat, Anwar Ibrahim, Presiden PKR, Kongres PKR, Tanjung Piai, Pakatan Harapan, Kongres Nasional Keadilan, MITC, Mahathir Mohamad



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.