Pilihan Raya Negeri (PRN) awal merupakan jalan terbaik bagi menyelesaikan kemelut kepimpinan di Terengganu.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Yahya Ali berkata kini terpulang kepada rakyat bagi menentukan semula parti manakah yang dirasakan layak untuk mentadbir kerajaan negeri.

"Yang paling bagus kalau kita bercakap soal demokrasi, suara rakyat dalam keadaan kepimpinan kerajaan negeri yang tidak stabil ini, itu (PRN) adalah penyelesaian terbaik," katanya selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Perunding Pelaksanaan Syariat Islam Terengganu (MAPIT) di Kuala Terengganu hari ini.

Yahya bagaimanapun berkata, PAS Terengganu akan terus mengambil sikap tunggu dan lihat sehingga Barisan Nasional (BN) hilang kerusi majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Sikap PAS kita tengok dahulu. Yang penting usul itu boleh dikemukakan dahulu sebab berdasar kepada pengalaman lepas, walapun Datuk Seri Ahmad Said (bekas Menteri Besar) mengusulkan undi tidak percaya, ia tidak akan lepas juga sebab Speaker dah berhenti daripada awal. Untuk kita buat andaian susah juga," katanya lagi.

Senario politik di Terengganu kembali tegang apabila Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman menggesa Majlis Tertinggi UMNO memecat ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said.

Ia susulan kelantangan Ahmad Said mengkritik kerajaan negeri dan mengusulkan undi tidak percaya pada sidang DUN lalu.

Kedudukan kerusi BN dan Pembangkang akan terikat 16 kerusi masing-masing, sekiranya Ahmad Said dipecat daripada UMNO.

Semalam, Ahmad Razif menegaskan politik negeri itu tidak mengalami sebarang masalah sehingga memerlukan PRN awal.

Menurutnya, beliau akan tetap dengan pendiriannya sebagai Menteri Besar dan fokus terhadap tugas membawa transformasi kepada negeri itu.