Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Openg menegaskan, hanya warga Sarawak sahaja yang layak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Jelasnya, perkara itu jelas termaktub dalam Perkara 16 Perlembagaan Sarawak dan tidak ada keperluan untuk sebarang pindaan.

“Calon mestilah orang Sarawak. Perkara itu jelas dalam Perlembagaan Negeri Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Portal dan Aplikasi Pelancongan Sarawak di sini pada Rabu.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Idris Buang yang mengesyorkan Perkara 16 Perlembagaan Sarawak dipinda.

Pindaan ini, menurut Idris, bertujuan supaya bukan warga Sarawak tidak dibenar bertanding pada pilihan raya negeri.

Jelasnya, cadangan tersebut bukan bermaksud takut mana-mana orang luar Sarawak akan bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun ia dirasakan wajar supaya selaras trend semasa politik Sarawak.