Calon PAS bukan Islam, Clement Bayang, 59, menyifatkan beliau mampu menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus yang selama ini diduduki Barisan Nasional (BN).

Jelasnya, sejak tiga tahun berkempen bersama parti Islam itu, penduduk di Kakus yang kebanyakan berbangsa Iban mula menerima dan memahami perjuangan yang dibawa PAS.

"Selalu juga saya kempen di rumah-rumah panjang bahawa dan saya menjelaskan bahawa PAS ini merupakan satu platform yang betul-betul berkesan.

"Ini kerana parti-parti lain nampaknya tidak bergerak dari awal. Cuma bila sampai waktu pilihan raya baru mula mendekati rakyat. Bagi saya itu tidak berkesan. Jadi saya pilih PAS.

"Selama saya dengan PAS saya rasa betul-betul tenteram," katanya selepas diumumkan sebagai calon PAS bagi DUN Kakus oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di sini pada Rabu.

Beliau yang juga Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) PAS Negeri Sarawak berkata, PAS Pusat dan negeri telah memberi banyak sokongan kepadanya serta bersama-sama turun padang dan menyelami masalah yang dihadapi oleh rakyat terutama di Kakus.

Tidak berseorangan

"Kita kerja bukan seorang. Dalam PAS ini anggota memang banyak sama ada dari Semenanjung dan di sini. Kita tidak rasa berseorangan.

"Sebagai calon, kita mesti membawa isu bersama dengan hujah yang matang dan informasi yang tepat. Itu yang saya yakin pada pilihan raya kali ini," kata Clement yang pernah bertanding pada pilihan raya sebelum ini di DUN Kemena.

Sementara itu, bagi calon tunggal muslimat PAS, Hamidah Mokhtar, 26, beliau akan memperjuangkan hak wanita terutama ibu tunggal.

Malah, beliau tidak melihat usia muda menjadi penghalang kepadanya untuk mendekati penduduk di DUN yang ditandinginya, Beting Maro.

"Saya harap pengundi wanita di Sarawak keluar mengundi dan tunaikan hak mereka. Ia penting untuk hak mereka diperjuangkan terutama seperti isu-isu yang dialami ibu tunggal.

"Rasanya wanita tidak ada masalah untuk mendekati pengundi, sebaliknya kami lebih mudah untuk mendekati pengundi kerana kami lebih mudah ke dapur dan lebih mesra," katanya.

Beliau merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sistem Maklumat Perniagaan, Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan merupakan Setiausaha Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak.