Lapan calon Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) serta tiga calon langsung Barisan Nasional diumumkan Ketua Menteri Tan Sri Dr Adenan Satem hari ini.

Calon PBB akan bertanding di Muara Tuang, Simunjan, Daro, Jemoreng, Kabong, Bukit Goram, Kalaka dan Katibas.

Sementara itu, tiga calon langsung BN akan bertanding di Serembu, Bukit Semuja dan juga Mulu.


Antara calon baru yang mencuri tumpuan ialah tokoh agama Datuk Dr Juanda Jaya yang akan bertanding di Jemoreng.

"Saya bersyukur diberi peluang untuk berkhidmat di tempat asal saya dan komited untuk melaksanakan amanah yang diberi demi kebaikan DUN Jemoreng," kata beliau yang akan bertanding atas tiket BN-PBB.

Calon-calon PBB lain yang diumumkan ialah Datuk Idris Buang (Muara Tuang), Awla Idris (Simunjan), Shafiee Ahmad (Daro), Mohd Chee Kadir (Kabong), Jefferson Jamit Unyat (Bukit Goram).

Calon langsung BN pula ialah Miro Simuh (Serembu), John Ilus (Bukit Semuja) dan Gerawat Gala (Mulu).

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubar pada 11 April lalu, setelah tarikh itu telah diperkenan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri yang ke-11 diadakan.

Menurut Klausa 4 Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Penggal DUN Sarawak sekarang sepatutnya berakhir pada 30 Jun ini dan SPR memutuskan tarikh penamaan calon dan mengundi sebaik dimaklumkan mengenai pembubaran DUN itu.

Barisan Nasional ketika ini menguasai 55 daripada 71 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri sekarang, DAP dengan DAP 12 kerusi dan PKR tiga. Terdapat seorang wakil Bebas.

Pada kali ini, akan terdapat 11 kerusi baharu susulan persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh SPR pada tahun lepas.